Jangan terikut spekulasi tukar MB Johor: Syed Saddi

Iklan
Osman Sapian

MUAR - Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman meminta agar semua pihak tidak terikut-ikut dengan spekulasi berkaitan isu pertukaran Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian.

Syed Saddiq yang juga Ahli Parlimen Muar berkata semua pihak perlu terlebih dahulu menunggu pengesahan sebelum membuat sebarang spekulasi.

Iklan
Iklan

"Jangan ikut spekulasi. Apa-apa yang akan berlaku, kita tunggu dahulu. Saya rasa ini bukan tempat untuk saya komen mengenai perkara ini.

"Saya rasa lebih baik bertanya kepada Menteri Besar Johor ataupun Yang Amat Berhormat Perdana Menteri untuk mendapatkan maklumat," katanya kepada pemberita setelah melepaskan peserta kejohanan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2019 peringkat Ketiga di Stadium Sultan Ibrahim di sini, hari ini.

Iklan

Semalam, media melaporkan Setiausaha Akhbar kepada Menteri Besar Johor, Abdul Hakim Abdul Rahman mengesahkan Osman akan ke Kuala Lumpur hari ini, namun menolak khabar angin bahawa kedudukannya itu akan digantikan.

Abdul Hakim dilaporkan berkata, Osman dijadual menghadiri mesyuarat bersempena pemukiman pemimpin-pemimpin Singapura dan Malaysia yang ke-9, pada Selasa.

Iklan

Dilaporkan kiriman WhatsApp yang tular menyatakan pada masa yang sama, Osman akan bertemu Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad susulan kedudukannya sebagai Menteri Besar Johor akan ditukarkan.

Ketika ditanya adakah benar dakwaan bahawa Osman bertemu Tun Dr Mahathir, Syed Saddiq berkata,"Saya pun pergi jumpa Tun M pagi tadi tapi... Tunggu dululah bagi saya itu biasa sebab saya menteri persekutuan."

Sementara itu, Syed Saddiq berkata pihaknya masih lagi menunggu perkembangan terkini daripada Kementerian Luar mengenai urusan jenazah pemain golf profesional negara, Arie Irawan Ahmad yang dilaporkan meninggal dunia atas sebab semula jadi di dalam bilik hotel penginapannya, di Hongkong semalam.

"Saya dimaklumkan bahawa kelurganya sudah ke sana semalam pada pukul 6 petang dan pihak Majlis Sukan Negara bersama dengan saya telah menghubungi Kementerian Luar, kita harap semua urusan akan berjalan dengan lancar," katanya.

Arie Irawan, 28, berada di sana untuk menyertai Kejohanan Sanya, acara kedua dalam Siri jelajah PGA-China 2019. -Bernama