IPOH - Bau busuk yang dikesan di kawasan Hutan Simpan Bukit Kinta dekat Gopeng hujung minggu lepas bukan milik manusia.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia negeri Perak, Mohamad Yunus Abu berkata maklumat mengenai bau busuk tersebut dan sekumpulan lalat diterima daripada Orang Asli tempatan pada Sabtu lepas.
Katanya lima pegawai kanan dan lima anggota pangkat-pangkat lain bomba bersama tiga anggota polis telah naik ke kawasan bau busuk tersebut yang terletak pada ketinggian 400 meter semalam dan hari ini.
"Kita dah sampai ke kawasan tersebut tapi setakat ini negatif (mayat manusia), mungkin bangkai binatang kerana kita temui bulu dan lalat, tiada tulang atau kulit yang boleh kaitkan dengan manusia," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.
Beliau mengulas mengenai tular di media sosial yang mengaitkan bau busuk tersebut dengan kehilangan Mohammad Ashraf Hassan, 29, atau Acap sejak 23 Mac lalu semasa menyertai Gopeng Ultra Trail (GUT) 2019.
Dalam pada itu, Mohamad Yunus turut meminta pengamal perubatan tradisional atau pengamal perubatan Islam agar tidak membuat usaha mencari Mohammad Ashraf secara bersendirian.
Katanya sejak kehilangan Mohammad Ashraf, banyak pihak yang mendakwa sebagai pengamal perubatan tradisional atau pengamal perubatan Islam datang ke Gopeng untuk mencari mangsa.
"Lebih elok jika duduk bersama, berbincang, kita bergabung kerana matlamat kita sama iaitu untuk mencari Mohammad Ashraf.
Jangan buat usaha sendiri," katanya sambil mempersoalkan adakah tindakan secara bersendirian itu kerana ganjaran atau nama. - Bernama