Tak patut jamu mata dengan 'benda haram'

Iklan
Klip video yang tular memaparkan persembahan seorang penari seksi dalam sebuah perkahwinan seorang anak selebriti semalam.

KUALA TERENGGANU - Tarian keterlaluan dalam sebuah majlis perkahwinan seorang anak selebriti semalam tidak sepatutnya berlaku kerana ia bercanggah dengan syariat Islam.

Ketua Penolong Pesuruhjaya (Bahagian Pengurusan Masjid) Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (JHEAT), Aizi Saidi Abdul Aziz berkata, persembahan itu adalah haram di sisi agama.

Iklan
Iklan

"Matlamat perkahwinan dah 'comel' dah, tetapi cara kita buat tu tak betul. Halal lawannya haram. Benda itu tidak sepatutnya berlaku kerana bercanggah dengan syariat Islam. Sepatutnya kita buat sebagaimana anjuran Nabi Muhammad SAW.

"Perkahwinan adalah sunah Nabi Muhammad SAW, tetapi bila campur adukkan dengan benda haram, benda maksiat yang jelas hukumnya adalah haram," katanya.

Iklan

Mengulas lanjut, Aizi Saidi berkata, persembahan tarian itu secara tidak langsung 'mengheret' dosa kepada para tetamu yang hadir dan menyaksikannya.

"Matlamat sesebuah perkahwinan ialah untuk menguar-uarkan dan meraikan majlis perkahwinan kita. Kita mengharapkan doa-doa yang baik daripada tetamu yang hadir. Jadi, tidak sepatutnya kita jamu mata orang yang datang dengan benda yang ditegah ALLAH SWT.

Iklan

"Ia seolah-olah kita beri dosa pula pada mata mereka sedangkan antara matlamat kita dalam perkahwinan ialah untuk menghalalkan sesuatu yang haram kepada kita sebelum ini (dalam hubungan lelaki dan wanita).," katanya.

Justeru, beliau menasihatkan seluruh umat Islam supaya kembali kepada fitrah agama dan merujuk kepada golongan ulama dan ilmuwan agama sekiranya terdapat sebarang kemusykilan.

"Kita perlu kembali kepada agama dan cari cara terbaik supaya matlamat kahwin daripada awal sehingga akhir mendapat berkat.

"Sesungguhnya, antara matlamat kita dalam perkahwinan ini ialah untuk mendapatkan dapat zuriat yang baik, melahirkan generasi yang baik seterusnya dapat menjadikan sebuah negara yang baik.

"Semuanya bermula dari sebuah perkahwinan. Jadi, buatlah sesuatu yang diredai dan disukai ALLAH SWT, jauhi kemurkaan-Nya," katanya.

Terdahulu, sebuah klip video yang memaparkan aksi tarikan keterlaluan pada majlis perkahwinan pasangan Melayu tular setelah dikongsi netizen di laman sosial.