MELAKA - Dua pelombong mata wang crypto Bitcoin masing-masing didenda RM45,000 dan RM10,000, selepas mengaku bersalah memberi suapan kepada ejen Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk tidak mengambil tindakan ke atas mereka, atas kesalahan mencuri elektrik.
Hakim Mahkamah Sesyen Elesabet Paya Wan menjatuhkan hukuman itu terhadap Tey Boon Sin, 33, dan Leang Ting Sheng, 43.
Tey didenda RM20,000 atau penjara lima bulan bagi pertuduhan pilihan pertama dan RM25,000 atau penjara enam bulan atas pertuduhan pilihan kedua.
Leang pula didenda RM3,000 atau penjara dua bulan bagi pertuduhan pilihan pertama dan RM7,000 atau penjara dua bulan atas pertuduhan pilihan kedua.
Mengikut pertuduhan, Tey didakwa memberi suapan wang tunai RM14,500 dan RM17,500 kepada ejen TNB, sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan kerana mengambil dan menggunakan elektrik.
Dia dituduh melakukan kesalahan itu di tempat letak kereta Starbucks Coffee, Jalan Kota Laksamana pada 3.45 petang, 6 Oktober 2021 dan di tempat letak kereta berhadapan bangunan Perbadanan Kemajuan Tanah Adat Melaka pada 6 petang, 19 November 2021.
Sementara itu, Leang dituduh memberi suapan kepada ejen TNB sebanyak RM500 dan RM2,500, dengan niat yang sama.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di tempat letak kereta Medan Samudera, Jalan Merdeka pada 4 petang, 20 September 2021 dan tempat letak kereta Freeport A Famosa Outlet, Alor Gajah jam 3.50 petang, 4 Oktober 2021.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 214 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak sampai 10 tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya sekali.
Terdahulu peguam Azrul Zulkifli Stork yang mewakili Tey, merayu hukuman ringan kerana perniagaan anak guamnya ditutup akibat Covid-19 dan dia tidak mempunyai pekerjaan tetap serta bergantung hidup dengan simpati rakan-rakan.
Peguam Azri Abd Hamid yang mewakili Leang memohon hukuman ringan kerana tertuduh tidak bekerja dan ditanggung oleh isterinya yang bekerja sebagai pembantu kedai dengan pendapatan RM2,000 sebulan.
Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Irwan Shah Abdul Samat memohon mahkamah mengenakan hukuman berat, kerana rasuah kesalahan serius dan mahkamah perlu mengambil kira faktor kepentingan awam. - Bernama