HULU SELANGOR - Sebuah lori membawa muatan kapur mentah terbalik selepas terbabit dalam kemalangan di Kilometer 422.2 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara, di sini, pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Suffian Abdullah berkata, kejadian berlaku pada jam 2.30 petang dan lori terbabit terbalik di lorong tengah lebuh raya dengan muatan yang dibawa turut terjatuh memenuhi jalan.
Iklan
Iklan
"Kemalangan itu turut membabitkan sebuah kereta BMW tetapi tiada kemalangan jiwa dilaporkan," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Suffian berkata, kemalangan berlaku semasa kereta BMW dari arah Kuala Lumpur menghala ke Ipoh, Perak.
"Tiba di lokasi, pemandu kereta berusia 37 tahun tersebut dipercayai gagal mengawal kenderaannya lalu terlanggar belakang lori jenis Daihatsu," katanya.
Menurutnya, ekoran kemalangan itu kedua-dua kenderaan hanya mengalami kerosakan.
"Kemalangan itu menyebabkan kesesakan hampir tiga kilometer. Siasatan dijalankan Unit Siasatan Lebuhraya Bukit Aman mengikut Kaedah Rule 10 LN 166/59 iaitu gagal mengawal kenderaan sehingga menyebabkan kemalangan," katanya.