Rempuhan stadium: Ketua Polis Jawa Timur mohon maaf

Iklan
Seorang wanita menabur bunga di pusara mangsa dalam kejadian rempuhan di Stadium Kanjuruhan di Malang, Jawa Timur pada akhir minggu lalu. - Foto: AFP

MALANG - Ketua Polis wilayah Jawa Timur di Indonesia pada Selasa memohon maaf susulan tragedi yang meragut 131 nyawa termasuk puluhan kanak-kanak ketika insiden rempuhan di stadium bola sepak pada akhir minggu lalu.

"Sebagai ketua polis wilayah, saya amat sedih dan kesal atas kekurangan dalam proses keselamatan ketika menangani situasi tersebut," ujar Nico Afinta.

Iklan
Iklan

Permohonan maaf secara terbuka itu dibuat selepas siasatan dilancarkan ke atas unit elit polis setelah desakan semakin meningkat untuk mengenakan hukuman tegas terhadap pelaku yang bertanggungjawab.

Ketika ini, banyak pihak mendakwa anggota keselamatan bertindak secara melampau apabila menggunakan gas pemedih mata di Stadium Kanjuruhan di Malang walaupun pihak berkuasa tetap mempertahankan tindakan itu.

Iklan

"Jika berlaku rusuhan seperti didakwa, semburan gas pemedih mata sepatutnya dihalakan ke padang dan bukannya di tempat duduk penonton. Tindakan melulu polis telah mencetuskan panik dalam kalangan penonton," tegas penyelaras kumpulan penyokong kelab Arema FC.

Pada Isnin, ketua polis tempatan ditukarkan manakala sembilan anggota Kor Briged Bergerak atau Brimob digantung tugas dan 19 yang lain disoal siasat.

Iklan

Dalam perkembangan berkaitan, Persatuan Bola Sepak Indonesia mengenakan larangan seumur hidup terhadap dua pegawai Arema FC dan kelab itu turut berdepan denda 250 juta rupiah (RM76,119). - AFP