SKUAD The Speedy Tigers mempamerkan karakter melawan tinggi ketika tewas tipis 2-3 kepada Perancis dalam perlawanan ketiga Siri Jelajah Belgium pada Selasa.
Pada aksi di padang Kelab Hoki Waterloo Ducks itu, skuad kendalian Arul Selvaraj terlebih dulu ketinggalan 0-3.
Perancis memulakan kempen gol dengan jaringan minit pertama hasil pukulan sudut penalti, gol padang minit keempat dan pukulan sudut penalti minit ke-35.
Malaysia kemudian bangkit di babak kedua bermula menerusi gol gerakan padang Muhammad Najib Abu Hassan pada minit ke-52’.
Kemudian Muhammad Razie Abd Rahim meledak gol kedua Speedy Tigers pada minit ke-55, hasil pukulan sudut penalti.
Sementara itu, Arul menyifatkan kebangkitan dengan menjaringkan dua gol antara perkara positif ditampilkan para pemainnya.
Namun beliau mengakui masih terdapat beberapa kekurangan yang masih perlu diperbaiki pasukan itu antaranya perlu memanfaatkan setiap peluang menjaringkan gol sebaiknya.
"Pemain menunjukkan satu kebangkitan dengan keupayaan yang baik dan cukup tinggi di suku terakhir perlawanan selepas ketinggalan. Ini bermakna pemain mempunyai tenaga yang cukup untuk mencabar diri mereka.
"Saya kurang pasti mengapa suku pertama dan kedua permainan, tenaga tersebut kurang kelihatan. Kami mempunyai beberapa peluang untuk menjaringkan gol pada suku pertama namun peluang tersebut tidak digunakan dengan sempurna.
"Kekuatan kami yang dapat saya lihat pada hari ini adalah cara kebangkitan yang ditunjukkan oleh pemain dalam suku keempat selepas ketinggalan.
”Saya boleh dilihat kekuatan tenaga yang ditunjukkan pemain, semangat mereka dan kami berjaya menjaringkan dua gol. Dari sudut kelemahan pula apa yang saya lihat adalah peluang yang kami cipta tidak disudahkan dengan tenaga dan keyakinan yang tinggi,” katanya.
Pada masa sama Arul berkata, apa yang beliau harapkan untuk perlawanan terakhir esok adalah untuk mencatatkan kemenangan.
"Hari ini kami telah melepaskan peluang untuk menang. Jadi malam ini kami akan melakukan analisa perlawanan hari ini dan pastinya matlamat kami untuk turun esok adalah menang.” katanya.
The Speedy Tigers akan turun sekali lagi pada perlawanan terakhir menentang Perancis pada Selasa.