Lebih banyak PEDi akan diwujudkan di Perak

Iklan
Budiman (dua dari kiri) menyaksikan Khairul Shahril (dua dari kanan) menyerahkan watikah pelantikan Pengerusi PEDi kepada Wakil PEDi Gerik, Mohd Nurzaffan Sulaiman (tengah) pada Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Pengerusi PEDi Perak pada Selasa.- Foto Bernama

IPOH - Lebih banyak Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi) akan diwujudkan di Perak susulan maklum balas positif pelaksanaannya setakat ini.

Setiausaha Politik kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Dr Budiman Mohd Zohdi berkata, lokasi tambahan pusat itu sedang dikenal pasti bagi mencapai sasaran satu PEDi di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Iklan
Iklan

Katanya, usaha itu bagi meningkatkan tahap sosioekonomi komuniti setempat dan memberi pendedahan kemahiran digital kepada penduduk untuk mengambil peluang dalam ekonomi digital.

"Sejumlah 71 buah PEDi sudah diwujudkan dan mula beroperasi di Perak dan ada tambahan sebanyak lima lagi pusat di beberapa kawasan, jadi diharapkan pelantikan Pengerusi PEDi di akar umbi ini akan membantu usaha celik digital dan melatih usahawan digital di Perak," katanya kepada pemberita.

Iklan

Beliau berkata demikian selepas mewakili Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa pada Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Pengerusi PEDi dan Taklimat Telekomunikasi Bersama Pengguna Negeri Perak di sini pada Selasa.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia Perak, Khairul Shahril Mohamed.

Iklan

Katanya, pelantikan Pengerusi PEDi amat penting kerana memberi impak kepada peranan dan hala tuju PEDi dalam merealisasikan hasrat untuk merancakkan ekonomi digital setempat menerusi penglibatan lebih ramai masyarakat luar bandar.

Selain itu, katanya sebanyak 345 unit Peranti Komuniti telah diagihkan kepada 23 PEDi di seluruh negeri untuk kegunaan anggota komuniti dalam menggalakkan pengalaman kebolehgunaan pendigitalan. - Bernama