KECOH satu Malaya pada Rabu apabila hero filem dan drama terkenal, Zul Ariffin didakwa di mahkamah.
Ramai yang tertunggu-tunggu apa agaknya hujah lawan Zul yang mungkin akan mempertahankan dirinya.
Ini kerana Merak Jalanan difahamkan Zul dituduh memuat naik kandungan bersifat sumbang menerusi media sosialnya.
Bagaimanapun video yang dimuat naik Zul itu adalah promosi atau keratan sebahagian daripada sebuah drama dilakonkannya.
Namun, ramai jugak yang terkejut sebab aktor itu tak mahu mempertahankan diri dan terus mengaku salah.
Bak kata Zul, dia tidak mahu panjang-panjang cerita dan habiskan masa naik turun mahkamah.
Kalau tujuannya begitu, memang betullah keputusan Zul sebab mahkamah terus jatuhkan denda RM30,000 pada hari yang sama.
Walaupun ramai juga netizen yang menghentam Zul, ada juga yang persoalkan takkan Zul seorang yang kena.
Bagaimana pula dengan pengarah dan penerbit drama.
Apatah lagi, bila Zul secara sarkastik menyindir,"Orang lain yang terbabit semuanya malaikat."
Mungkin pihak berkuasa ada hujah-hujah mereka tetapi bagi Merak Jalanan, kes Zul adalah pengajaran untuk semua anak seni.
Tidak kisahlah pelakon, penyanyi, pelawak, influencer, pengarah mahu pun penerbit.
Walaupun kita tahu dalam dunia digital hari ini, apalah sangat adegan Zul itu berbanding aksi lebih panas di Netflix, tetapi sebagai produksi lokal kita masih terikat dengan tatasusila timur.
Para pelakon mungkin boleh menjadikan kes Zul ini untuk mengatakan tidak kepada aksi ranjang panas yang diminta pengarah dan penerbit.
Cuma Merak Jalanan teringatlah beberapa filem yang ada babak panas sebelum ini contohnya Lenjan, Perempuan, isteri dan... serta Embun.