SKUAD bola sepak Bawah 16 tahun (B-16) negara berada dalam mood terbaik menjelang perlawanan kedua Kumpulan B Kelayakan Piala Asia B-17 2023 menentang Guam di Stadium Pakansari, Cibinong, Bogor, Indonesia pada Rabu.
Pengendali skuad B-16 negara, Osmera Omaro berkata, anak-anak buahnya tetap bersemangat menghadapi aksi kelayakan itu biarpun diselubungi berita tragedi maut penyokong bola sepak Indonesia di Stadium Kanjuruhan, Malang Sabtu lalu.
Iklan
Iklan
"Emosi pemain dalam keadaan baik selepas kemenangan ke atas Palestin. Walaupun masih terkejut dengan insiden di Stadium Kanjuruhan, namun ia tidak menjejaskan tumpuan mereka bagi menghadapi Guam.
"Kami akan berdepan Guam sama seperti mana kami berdepan Palestin. Setiap pemain muda negara akan fokus untuk menang, namun mereka sama sekali tidak akan pandang rendah keupayaan pasukan lawan,” katanya.
Pada Isnin, Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) mengumumkan kesemua aksi Kumpulan B terdiri daripada Indonesia, Malaysia, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Palestin dan Guam di Stadium Pakansari akan dilangsungkan tanpa kehadiran penonton.
Keputusan itu dibuat sebagai menghormati pihak terkesan dengan tragedi berdarah yang mengorbankan kira-kira 150 orang dalam rusuhan selepas pertembungan ‘Derby Jawa Timur’ antara Arema FC dan Persebaya Surabaya di Stadium Kanjuruhan.
Selepas berdepan Guam, skuad Harimau Muda dijadual menentang UAE Jumaat ini sebelum berdepan tuan rumah, Indonesia pada 9 Oktober.