Mohon selenggara Taman Perbandaran Tengku Anis

Iklan
Dari kiri: Syahir Aiman, Hafiz Haikal, Imran, Nur Nabila

APA KHABAR RAKYAT minggu ini bertemu pengunjung Taman Perbandaran Tengku Anis di Tanjung Chat yang merupakan taman rekreasi popular di bandar Kota Bharu selain menjadi tumpuan pelancong jika ke Kelantan.

Taman seluas 14 hektar yang dibina 18 tahun lalu itu menyediakan banyak kemudahan termasuk kawasan permainan kanak-kanak, trek joging, peralatan senaman, taman rusa dan tapak penganjuran aktiviti.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun dalam tempoh itu, ada di antara kemudahan dan landskap dilihat perlu ditambah baik bagi mengekalkan keceriaan serta tidak berada di takuk lama.

Tinjauan Sinar Harian mendapati ada kemudahan di taman itu sudah tidak sempurna dan ada yang perlu diganti bagi menjamin keselamatan pengunjung.

Iklan

Beberapa pengunjung yang ditemui turut berkongsi pengalaman dan pendapat mereka mengenai taman rekreasi terbesar yang dirasmikan pada 4 September 2014 oleh Sultan Kelantan ketika itu, Tuanku Ismail Petra Sultan Yahya.

Bagi warga emas yang mahu dikenali sebagai Eric, 65, trek joging di taman itu perlu dinaik taraf dan kerap dibersihkan bagi mengelakkan ia berlumut.

Iklan

Eric mengakui pernah melihat seorang warga emas lain terjatuh akibat trek berlumut dan licin.

Antara kemudahan senaman di Taman Perbandaran Tengku Anis yang perlu diberi perhatian oleh pihak bertanggungjawab.

"Mungkin pembaikan menyeluruh memerlukan kos yang tinggi tetapi bagi saya naik taraf trek sudah mencukupi untuk keselamatan dan keselesaan warga emas seperti saya yang beriadah di sini.

"Saya juga pernah melihat ranting pokok terjatuh ke atas seorang pengunjung dan mujur dia tidak cedera,” ujarnya ketika ditemui di taman itu.

Bagaimanapun katanya, sebagai warga emas, taman itu secara keseluruhannya memuaskan tetapi memerlukan beberapa pembaikan sesuai untuk orang ramai pelbagai peringkat umur.

"Kita tidak boleh membandingkan lokasi ini dengan taman rekreasi lain di luar Kelantan kerana tanah mereka lebih luas dan membolehkan banyak kemudahan dibina untuk pelbagai usia,” jelasnya.

Pekerja sambilan, Syahir Aiman Roseshahzli Khan, 23, pula berpendapat, fasiliti sukan perlu lebih moden untuk kegunaan mereka yang aktif bersukan.

Tambahnya, bagi pengunjung yang baru mula untuk bersukan, kemudahan peralatan yang ada mungkin mencukupi tetapi perlu dibaik pulih kerana banyak yang sudah rosak dan tidak sesuai untuk digunakan.

"Saya lihat ada pekerja yang membersihkan taman ini, namun ada beberapa kemudahan yang dicadangkan diselenggara bagi mengelakkan kerosakan.

Kerosakan kemudahan yang perlu dibaik pulih di Taman Perbandaran Tengku Anis di Tanjung Chat, Kota Bharu.

"Keadaan cuaca dan persekitaran mengakibatkan peralatan riadah berkarat dan lebih elok ditukar,” katanya.

Bagi pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA), Hafiz Haikal Zainuddin, 19, pentas senamrobik yang lebih besar akan memberi keselesaan kepada mereka yang melakukan senaman itu.

"Pada pemerhatian saya, kawasan lama tidak mampu menampung pengunjung terutama ketika latihan zumba atau sukan dalam kumpulan besar.

Selain itu katanya, setiap kemudahan yang disediakan memerlukan papan tanda nama supaya pengunjung tahu fungsinya.

"Sebagai contoh, kami tidak pasti fungsi struktur binaan di tengah taman ini kerana selama saya datang ke sini, ia tidak pernah dibuka kepada pengunjung.

"Contohnya menara tinjau, hanya satu binaan hiasan atau ada fungsi lain,” soalnya.

Hafiz Haikal turut berharap dapat naik ke atas dan melihat pemandangan indah di sekitar taman itu.

Taman rusa antara tarikan menarik di Taman Perbandaran Tengku Anis di Tanjung Chat, Kota Bharu.

"Binaan besar itu seperti ‘rumah’ merpati kerana dipenuhi rumput kering dan ada burung yang bertelur selain tiada pintu disediakan untuk naik ke atas,” jelasnya.

Bagaimanapun katanya, semua trek yang disediakan sudah mencukupi walaupun perlu dibersihkan untuk keselamatan pengunjung.

Dia juga berpendapat taman itu memerlukan tambahan beberapa gerai makan dan kedai cenderamata terutama ketika musim cuti persekolahan.

PBT perlu buat kaji selidik awam naik taraf taman

Dalam pada itu, Sinar Harian turut bertemu pengunjung yang sedia berkongsi pendapat supaya dapat membantu pihak bertanggungjawab meningkatkan keceriaan taman itu.

Pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA), Nur Nabila Abdul Halim, 22, berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu mengumpul lebih banyak idea dan cadangan daripada orang awam sebelum menaik taraf taman itu.

Menurutnya, jika tidak mampu, mungkin boleh bekerjasama dengan institusi pengajian tinggi dan mendapatkan khidmat sukarelawan.

"Inilah taman rekreasi terbesar yang kita ada di bandar ini dan sudah tentu memerlukan pembaikan dari masa ke masa,” ujarnya.

Imran Mazni, 19, pula mencadangkan supaya dapat memasang peta keseluruhan taman dan meletakkan nota di setiap peralatan senaman dan struktur binaan bagi membolehkan pengunjung tahu lokasi mereka di taman yang dipenuhi pelbagai jenis pokok itu.

"Menara tinjau dan pengawal juga penting kerana kawalan keselamatan antara faktor pelancong mengunjungi taman rekreasi ini terutama ketika cuti persekolahan dan cuti umum,” katanya.