MUAR - Seorang remaja lelaki orang kurang upaya (OKU) yang dilaporkan hilang sekitar jam 4 petang pada Selasa, ditemukan lemas.
Mangsa yang berusia 17 tahun dijumpai terapung di sebuah kolam yang terletak berhampiran rumahnya di Kampung Batu 18 Sengkang, Bukit Gambir pada Rabu.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Gambir, Penolong Penguasa Bomba Rafiah Aziz berkata, panggilan kecemasan berhubung kejadian itu diterima pada jam 8.42 malam pada Selasa.
Katanya, seramai sembilan anggota, sebuah jentera FRT dan EMRS dihantar ke lokasi bagi operasi mencari serta menyelamat mangsa.
"Anggota bertindak melakukan pencarian di sekitar kawasan rumah mangsa dan kawasan berhampiran dalam jarak dua kilometer dari lokasi terakhir mangsa dipercayai hilang.
"Pada jam 6.47 pagi Rabu, keluarga mangsa memaklumkan mangsa telah dijumpai terapung di kolam yang berada pada jarak 100 meter dari rumah mangsa," katanya dalam satu kenyataan.
Rafiah berkata, mayat mangsa dikeluarkan dari kolam menggunakan peralatan khas oleh anggota bomba.
Menurutnya, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.