Anggota Hizbut Tahrir diberi tempoh sebulan lantik peguam

Iklan
Jamaluddin (depan) kelihatan bersama pengikut Hizbut Tahrir di Mahkamah Tinggi Syariah pada Rabu.

SEREMBAN - Mahkamah Tinggi Syariah di sini memberi tempoh sebulan kepada seorang anggota Hizbut Tahrir Malaysia di daerah ini untuk melantik peguam kerana disyaki melanggar fatwa Negeri Sembilan yang mengharamkan ajaran itu.

Hakim, Kamal Bashah Ahmad Tajuddin memberi tempoh itu kepada tertuduh, Jamaluddin Maidin Syed, 46, pada Rabu bagi membolehkan pendakwaan diteruskan terhadapnya.

Iklan
Iklan

Sepatutnya pada Rabu, prosiding terhadap tertuduh akan bermula mengikut Seksyen 50 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992.

Jamaluddin berkata, dia akan melantik peguam namun membantah bon jaminan yang diberikan kepadanya sebelum ini.

Iklan

Bagaimanapun Kamal Bashah meminta tertuduh menyatakan ketidakpuasan hati itu melalui peguamnya untuk disebut dalam prosiding akan datang.

Mahkamah kemudian menetapkan sebutan semula kes pada 23 November jam 9.30 pagi.

Iklan

Pendakwaan kes dikendalikan Pendakwa Syarie, Suhaizad Saifuddin.

Terdahulu, Jamaluddin yang memakai baju kameja berpetak dan berkopiah tiba di pekarangan Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sembilan pada jam 9.20 pagi dengan ditemani beberapa pengikut ajaran Hizbut Tahrir.

Sinar Harian pada Oktober tahun lalu melaporkan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) menahan lelaki berkenaan di pejabat penguat kuasa jabatan itu pada 27 Oktober.

Ketua Unit Operasi Bahagian Penguatkuasaan JHEAINS, Ahmad Zaki Hamzah berkata, Jamaluddin ditahan kerana disyaki melanggar fatwa Negeri Sembilan yang mengharamkan ajaran Hizbut Tahrir mengikut Seksyen 50 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992.

"Turut ditahan, isteri Jamaluddin yang berusia 46 tahun serta anak perempuan berusia 22 tahun di rumah mereka di Taman Bandar Seremban Selatan di sini.

"Mahkamah Syariah membenarkan jaminan setiap seorang RM2,500 dengan seorang penjamin," katanya.