SEOUL - Pelancaran peluru berpandu balistik yang gagal, mencetuskan panik di sebuah bandar Korea Selatan selepas ia terhempas ke daratan dan menyebabkan kebakaran besar, kata pegawai pada Rabu.
Tentera Korea Selatan melancarkan tembakan peluru berpandu balistik jarak dekat, Hyunmoo-2 pada lewat Selasa tetapi ia tidak berfungsi dan terhempas sejurus selepas dilancarkan.
Bahan perejang peluru berpandu itu terbakar tetapi hulu peledaknya tidak meletup, kata seorang pegawai tentera Korea Selatan kepada agensi berita Yonhap.
Rakaman video media sosial yang tidak dapat disahkan oleh AFP menunjukkan bola api jingga di kawasan yang dikatakan berada berhampiran sebuah pangkalan tentera udara dekat Gangneung di pantai timur negara itu.
"Ramai penduduk yang panik menelefon dewan bandar raya.
"Pada mulanya kami tidak tahu apa yang berlaku kerana kami tidak menerima sebarang notis daripada tentera mengenai latihan sedemikian,” kata seorang pegawai di Dewan Bandaraya Gangneung kepada AFP.
"Saya sangka terdapat perang tetapi ia ternyata latihan ketenteraan,” kata seorang pengguna di Twitter.
"Mengapa mereka mengambil masa lama untuk mengesahkan? Jika berlaku peperangan, kami mungkin akan mengetahuinya pada hari berikutnya," ciap seorang pengguna lain.
Ketua Turus Bersama Korea Selatan kemudian berkata, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan pihaknya sedang meneliti punca kejadian itu. - AFP