Sektor kewangan Islam perlu tingkat kemajuan: BNM

Iklan
Nor Shamsiah
SEKTOR kewangan Islam masih belum merealisasikan potensi penuh kewangan berasaskan nilai untuk memenuhi keperluan ekonomi dan sosial kontemporari, kata Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus.

Justeru, beliau berkata, ini juga menunjukkan terdapat keperluan berterusan untuk memupuk penghayatan nilai asas syariah dalam kalangan peserta pasaran serta manifestasinya dalam penyelesaian, perkhidmatan dan tatalaku kewangan.

"Banyak institusi kewangan, konvensional dan Islam masih belum melakukan perubahan penting ke atas cara mereka beroperasi dan menjalankan perniagaan untuk menyampaikan sepenuhnya kewangan berasaskan nilai.

"Lima tahun sejak pelancaran inisiatif VBI (perantaraan berasaskan nilai) pada 2017, kebanyakan ahli Komuniti Pengamal hanya berada pada fasa ‘kemunculan’ bagi pelaksanaan,” katanya semasa menyampaikan ucaptama pada Forum Islam Global 2022 pada Rabu.

Beliau berkata, VBI menjadi lebih kukuh dari segi tujuan nilai korporat dan strategi perniagaan institusi kewangan Islam, namun kewangan berasaskan nilai sebaliknya pula masih di peringkat awal.

Nor Shamsiah berkata usaha untuk mempelbagaikan modal berasaskan nilai seperti pendanaan usaha niaga baharu dan hasil sejajar dengan VBI lain adalah jauh daripada realisasi penuh.

"Hanya 4.2 peratus daripada akaun pelaburan yang melibatkan bank-bank Islam sebagai perantara, sesuai untuk membiayai transformasi seperti dalam menyediakan modal pertumbuhan untuk industri masa depan atau model perniagaan baharu.

"Sistem kewangan Islam juga belum memanfaatkan sepenuhnya rangkaian luas kontrak syariah dalam aplikasi kewangan hari ini," ujarnya.

Beliau berkata, kontrak kebajikan, kontrak perkongsian risiko dan kontrak berasaskan aset lain masih belum digunakan sepenuhnya untuk menawarkan spektrum pendanaan, pelaburan dan penyelesaian perlindungan yang lebih luas. - Bernama