Mangsa banjir di Johor terus berkurangan

Iklan
Anggota APM melakukan pemantauan di lokasi banjir di Kampung Sri Gambut dan Kampung Melayu Raya, Pekan Nenas, Pontian pada Rabu.

JOHOR BAHRU - Bilangan mangsa banjir di negeri ini semakin berkurangan kepada 22 orang daripada enam keluarga yang ditempatkan di sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) setakat jam 8 pagi Rabu.

Angkatan Pertahanan Awam (APM) dalam satu kenyataan memaklumkan, semua mangsa banjir terlibat dari Kampung Sungai Linau di Kluang yang ditempatkan di PPS di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Linau.

Iklan
Iklan

"Mangsa banjir dari Kampung Sri Gambut, Kampung Paya Embun, Kampung Melayu Raya dan Kampung Sri Menanti di Pontian yang ditempatkan di PPS SK Melayu Raya sudah dibenarkan pulang jam 3 petang," kata kenyataan itu pada Rabu.

Sementara itu, seorang mangsa banjir yang juga jiran kepada lelaki orang kurang upaya (OKU) terperangkap dalam banjir di Kampung Pasir di sini pada 3 petang Isnin, merakamkan penghargaan kepada pihak bomba.

Iklan

Halimi Kolan berkata, sebelum bomba tiba beberapa penduduk menemani lelaki berkenaan yang merupakan pesakit strok dan ketika kejadian ahli keluarganya dipercayai berurusan di luar dan dalam perjalanan pulang ke rumah.

"Kami bersyukur kerana tiada kejadian diingini berlaku dan lelaki berkenaan juga dalam keadaan selamat.

Iklan

"Kejadian seumpama ini menjadi peringatan kepada semua pihak untuk berusaha mengatasi masalah banjir di kampung ini. Sudah enam kali banjir berlaku sejak awal tahun ini," katanya.

Dia berkata, fungsi rumah pam air dalam kolam takungan banjir menjadi tanda tanya kerana gagal mengatasi masalah banjir di situ.

"Kerja kami setiap kali hujan lebat adalah memindahkan barang dan menyelamatkan ahli keluarga, bayangkan sekiranya paras air semakin tinggi dan kejadian berulang, ia boleh menimbulkan pelbagai risiko," katanya.