PUTRAJAYA - England dan Kanada antara negara baharu yang menyertai Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) ke-62.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berkata, sebanyak 31 negara membabitkan 41 peserta menyertai pertandingan yang bakal diadakan selama enam hari mulai 19 Oktober ini.
"Antara negara yang menyertai adalah Mauritania, Afghanistan, Afrika Selatan, Slovenia dan sebagainya," katanya menerusi sidang akhbar prapelancaran MTHQA di sini pada Rabu.
Menurutnya, kebiasaannya penganjuran MTHQA melibatkan dua kategori iaitu pertandingan tilawah al-Quran secara tartil dan pertandingan hafazan al-Quran 30 juzuk.
Bagaimanapun katanya, penganjuran MTHQA kali ini hanya melibatkan kategori pertandingan tilawah Al-Quran.
Beliau berkata, Jawatankuasa Induk MTHQA juga sebulat suara bersetuju supaya peserta yang menyertai MTHQA perlu melalui sesi saringan.
"Alhamdulillah, sesi saringan kelayakan peserta MTHQA telah selesai dijalankan pada 1 hingga 7 Julai yang lalu secara dalam talian yang melibatkan penyertaan 64 orang peserta daripada 40 buah negara," katanya.
Beliau berkata, sesi saringan kelayakan peserta MTHQA telah dinilai oleh barisan jemaah hakim yang berpengalaman dan memiliki ilmu yang luas dalam bidang al-Quran.
"MTHQA ini dinilai oleh juri berpengalaman dari luar dan dalam negara," tambahnya.
MTHQA diadakan di Dewan Pleno Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dan akan disiarkan secara langsung menerusi saluran televisyen tempatan mulai 8.45 hingga 11.30 malam.
"Keluarga Malaysia yang ingin menyaksikan majlis itu dijemput hadir beramai-ramai," katanya.