Asing laluan bas pekerja, bas awam di Tambak Johor

Iklan
Mohamad Fazli

ISKANDAR PUTERI - Laluan berasingan antara bas pekerja dan bas awam di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) di Tambak Johor akan digazetkan bagi menangani isu kesesakan.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, tindakan mengasingkan laluan bas pekerja dan bas awam itu dibuat berdasarkan hasil kajian Perbadanan Pengangkutan Awam Johor (PAJ).

Iklan
Iklan

Menurutnya, berdasarkan kajian, kesesakan teruk dilaporkan berlaku di laluan khas bas pekerja dan bas awam di CIQ Tambak Johor seawal jam 4 pagi hingga 6.30 pagi berikutan tiada pengasingan antara kedua-dua laluan.

"Kajian PAJ mendapati kesesakan teruk adalah disebabkan bas pekerja yang terpaksa menunggu pekerja yang berulang-alik ke Singapura untuk memenuhkan bas dahulu sebelum bergerak.

Iklan

"Ia menyebabkan bas pekerja dan bas awam lain yang dipenuhi penumpang tersangkut di laluan bas sekali gus perjalanan tergendala dan sesak teruk," katanya ketika sidang akhbar di Bangunan Abdul Rahman Andak, Kota Iskandar pada Rabu.

Dalam pada itu, Mohamad Fazli berkata, langkah tersebut akan dilaksanakan apabila semua pemegang taruh memberikan keputusan mereka tidak lama lagi.

Iklan

"Ketika ini, perbincangan sedang dilakukan Jabatan Kerja Raya (JKR) bersama pemegang taruh terutama Kementerian Dalam Negeri (KDN). Perkembangan perbincangan akan dimaklumkan dalam masa terdekat," katanya.