Impian Putin 'rampas' 4 wilayah Ukraine jadi kenyataan

Iklan
Putin menandatangani dokumen berhubung itu setelah ia diluluskan Duma (Parlimen) dan Majlis Persekutuan (Dewan Negara). - Foto Agensi

MOSCOW - Presiden Rusia, Vladimir Putin pada Rabu menandatangani undang-undang berhubung pengilhakan empat wilayah di Ukraine.

"Wilayah Donetsk, Lugansk, Kherson dan Zaporizhzhia kini adalah sebahagian daripada Persekutuan Rusia mengikut Perlembagaan negara ini," ujar dokumen kerajaan.

Iklan
Iklan

Putin turut menandatangani dekri melantik secara rasmi individu yang disokong Moscow di keempat-empat wilayah tersebut sebagai pemangku pemimpin.

Pemimpin yang mendapat julukan 'Tsar moden' itu akhirnya berjaya merealisasikan impiannya untuk melakukan pengilhakan tersebut selepas ia mendapat lampu hijau Duma (Parlimen) dan Majlis Persekutuan (Dewan Negara).

Iklan

Difahamkan, keempat-empat wilayah yang meliputi kira-kira 20 peratus Ukraine itu akan mewujudkan koridor darat yang penting antara Rusia dan Semenanjung Crimea yang dirampas Moscow pada 2014.

Dalam perkembangan berkaitan, lebih 200,000 anggota simpanan telah menyertai tentera Rusia sejak Putin mengumumkan kerahan terbesar pada 21 September lalu.

Iklan

Menteri Pertahanan, Sergei Shoigu pada Selasa mengesahkan kesemua anggota tersebut yang bertujuan untuk menyokong operasi ketenteraan di Kiev kini ditempatkan di 86 pusat latihan sebagai persediaan bertempur.

Sebagai membantah misi itu, lebih 200,000 individu yang mematuhi kriteria ditetapkan untuk kerahan tersebut dilaporkan telah melarikan diri ke Kazakhstan.

Sementara itu, Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy memaklumkan tentera mereka semakin membuat kemajuan luar biasa di selatan termasuk di Kherson, Lugansk dan Donetsk serta berjaya merampas semula puluhan perkampungan daripada kawalan musuh.

Peta terbaharu konflik itu menunjukkan tentera Rusia berdepan kekalahan teruk dan terpaksa berundur dari Kherson susulan kemaraan Ukraine.

Di wilayah timur laut Kharkiv, Moscow dikatakan telah meninggalkan kedudukan mereka di tebing barat Sungai Oskil selepas Kiev memperhebatkan serangan balas pada bulan lalu. - AFP