Tiba masanya OIC tubuhkan jabatan khas untuk pelarian

Iklan
Syed Hamid ketika Seminar Antarabangsa Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (IPHRC) yang kelapan di Sepang pada Rabu.

SEPANG - Dengan lebih 40 peratus pelarian di seluruh dunia berasal dari negara-negara Islam, sudah tiba masanya bagi Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) menubuhkan jabatan khas untuk pelarian, kata bekas Menteri Luar, Tan Sri Syed Hamid Albar.

Pengerusi Forum Ekonomi Islam Dunia (WIEF) itu berkata, jabatan itu diperlukan untuk menangani pelbagai masalah mengenai pelarian terutamanya membabitkan akses kepada pendidikan kerana sebahagian besar mereka ialah kanak-kanak.

Iklan
Iklan

"Ia harus diselaraskan dengan lebih baik, kita gabungkan sumber atau komitmen politik. Perlu ada keazaman politik untuk melaksanakannya dan badan yang dapat menyelaras dan menyegerakkan semua aktiviti ini.

"Ia perlu supaya prosedur operasi standard dapat dicontohi. Semua perkara ini akan membantu kita menguruskan pelarian dengan lebih baik," katanya kepada Bernama di luar Seminar Antarabangsa Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (IPHRC) yang kelapan, di sini Rabu.

Iklan

Syed Hamid yang juga pengerusi Kumpulan Penasihat mengenai Myanmar berkata, OIC telah banyak membantu pelarian tetapi masih ada ruang untuk penambahbaikan, terutama dari segi pelaksanaan yang memerlukan usaha diselaraskan melalui badan serantau dan antarabangsa.

Sementara itu, Wakil Pesuruhjaya Tinggi untuk Pelarian (UNHCR) di Malaysia, Thomas Albrecht berkata, terdapat lebih 10 juta kanak-kanak pelarian di seluruh dunia dan 40 peratus daripada mereka tidak mempunyai akses kepada pendidikan.

Iklan

"Kita berdepan bahaya sebenar dengan memperjudikan masa depan berjuta kanak-kanak," katanya.

Beliau berkata, pendidikan penyelesaian mampan yang memberi mereka peluang untuk menyumbang kepada komuniti tuan rumah dan menghalang mereka menjadi mangsa eksploitasi serta pengaruh negatif.

Albrecht berkata tanpa pendidikan, pelarian kurang menyumbang kepada negara asal mereka apabila mereka memilih untuk kembali dan sering tidak layak mendapat peluang pendidikan atau pekerjaan di negara ketiga.

Seorang lagi panelis, Dr Abdul Razak Ahmad menggesa projek kolaboratif antarabangsa pada skala global yang menyatukan organisasi, negara dan perniagaan antarabangsa untuk mendidik pelarian dengan ilmu kemahiran dan kecekapan yang paling relevan.

"Projek yang dapat memberikan ilmu pengetahuan dan kemahiran untuk menjadikan mereka relevan di pasaran pekerjaan serta melengkapkan mereka dengan kemahiran agar tidak kira di mana berada, mereka mempunyai kecekapan dan kepakaran yang diperlukan untuk menjadi ahli masyarakat yang memberi manfaat,” kata Pengarah Pengasas Bait Al Amanah, sebuah institut penyelidikan bebas.

Beliau berkata, projek global untuk menyediakan penyelesaian kepada pelbagai masalah membabitkan pendidikan pelarian dan kemahiran harus menjadi tugas masyarakat awam.

Seminar Antarabangsa OIC-IPHRC kali kelapan yang bertemakan 'Islamic Perspectives on the Protection of Refugees - Rights and Access to Education' dihadiri kira-kira 200 peserta termasuk perwakilan dan pemerhati dari lebih 40 negara. - Bernama