Perkeso keluarkan 18 notis kompaun kepada majikan ingkar

Iklan
Shaharuddin (kanan) mengeluarkan notis kompaun kepada seorang majikan yang melanggar peraturan Perkeso.

ALOR SETAR - Sebanyak 18 notis kompaun dikeluarkan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Kedah kepada majikan yang melanggar peraturan dalam Ops Kesan Bersepadu peringkat negeri yang dijalankan sekitar daerah ini, semalam.

Pengarah Perkeso Kedah, Shaharuddin Waled berkata, kompaun yang dikeluarkan itu masing-masing melibatkan sembilan notis di bawah Seksyen 4 gagal mendaftar perusahaan dan selebihnya di bawah Seksyen 5 kerana gagal mendaftarkan pekerja.

Iklan
Iklan

Katanya, kesemua notis berkenaan melibatkan jumlah kompaun sebanyak RM10,500.

"Ops Kesan pada kali ini juga melibatkan kakitangan daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) yang turut menjalankan pemeriksaan di premis-premis berkenaan.

Iklan

"Hasilnya, sebanyak 15 Notis Arah Hadir ke pejabat dikeluarkan oleh KWSP dan 25 Notis Arah Hadir ke pejabat oleh SSM,"katanya.

Menurutnya, Perkeso sentiasa komited dalam melaksanakan misi untuk memberi perlindungan keselamatan sosial kepada setiap pekerja dalam memastikan majikan mematuhi Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 dan Peraturan Am Keselamatan Sosial Pekerja 1971.

Iklan

"Ops Kesan ini akan diadakan di beberapa daerah lain sepanjang bulan ini untuk memastikan majikan mematuhi arahan yang dikeluarkan," katanya.

Terdahulu operasi yang bermula dari jam 10 pagi hingga 3 petang itu melibatkan seramai 90 anggota daripada ketiga-tiga agensi.

Sebanyak 198 premis diperiksa di beberapa lokasi di bandar ini termasuk di Simpang Kuala, Taman Hamimah dan berdekatan Alor Setar Mall.