JABATAN Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan negara mengalami hujan lebat berterusan mulai pertengahan November ini yang mungkin berisiko mengakibatkan banjir besar pada penghujung bulan berkenaan.
Cuaca itu dijangka memberi impak lebih signifikan kerana Monsun Timur Laut aktif dalam tempoh tersebut, dengan risiko berlaku hujan lebat berterusan dan banjir berskala besar.
Walaupun kejadian banjir tidak melibatkan keseluruhan kawasan di negara ini, namun kita harus mengambil pengajaran dan iktibar apa yang berlaku di Pakistan berikutan taburan hujan lima kali ganda melebihi kebiasaan melanda negara itu.
Pakistan yang mempunyai populasi penduduk kelima teramai dunia menyifatkan kejadian banjir tersebut adalah terburuk dalam sejarah selepas mengorbankan seramai 1,400 nyawa, selain memberi kesan besar kepada 33 juta rakyat mereka.
Lebih memburukkan keadaan, Menteri Kewangan Pakistan, Miftah Ismail menganggarkan jumlah kerugian dialami negara itu kira-kira AS$10 bilion (RM45 bilion).
Satu pertiga negara Pakistan tenggelam memberi peringatan kepada kita agar lebih bersedia jika banjir besar melanda Malaysia. Ketika bencana banjir melanda negara pada Disember tahun lalu, sebanyak 54 kematian direkodkan. Secara keseluruhan, mangsa banjir di seluruh negara dari 10 November 2021 melibatkan 505,069 mangsa. Jelas, ia satu angka yang tinggi.
Rata-rata mereka yang terkesan banjir berdepan kerosakan dan kemusnahan harta-benda bukan sedikit. Banjir juga menyebabkan jalan perhubungan rosak teruk hingga terpaksa ditutup, haiwan ternakan mati, bangunan dan fasiliti terjejas, insiden tanah runtuh dan krisis makanan, selain turut memusnahkan tanaman. Mangsa banjir juga terdedah dengan penyakit bawaan air.
Adakah Malaysia sudah bersedia jika bencana banjir melanda negara kali ini? Ahad lalu, Amerika Syarikat (AS) mengeluarkan amaran cuaca buruk kepada rakyat negara itu yang berada di Malaysia sebagai persediaan berdepan hujan lebat, ribut dan banjir bermula bulan depan.
Berdasarkan amaran dikeluarkan di laman sesawang Kedutaan AS di Kuala Lumpur itu, rakyat mereka diingatkan bersiap sedia berdepan Musim Siklon Tropika di Laut Pasifik Selatan bermula 1 November ini hingga 30 April tahun depan.
Peringatan itu tidak boleh kita pandang sepi, sebaliknya persediaan rapi perlu dilakukan semua pihak terutama agensi keselamatan terlibat dalam menghadapi fasa peralihan Monsun Timur Laut.
Kesiapsiagaan itu dari segi jumlah aset dan logistik agensi keselamatan sebagai persediaan awal menangani bencana serta isu kecemasan. Persoalannya, adakah semua aset dan logistik negara mencukupi untuk memberi bantuan kepada semua mangsa banjir?
Sukar untuk kita lupakan bagaimana mangsa banjir terpaksa berlindung di bumbung bangunan dan kawasan tinggi. Sebahagian mangsa banjir terperangkap tanpa makanan, perubatan atau bekalan asas, malah ada antara mereka terpaksa menunggu lama sebelum bantuan tiba daripada agensi kerajaan.
Sejauh mana Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) yang menjalankan kerja-kerja penyenggaraan saliran sudah siap siaga melaksanakan tanggungjawab dengan sempurna?
Selain itu, peranan dimainkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) juga amat penting khusus untuk pengurusan risiko bencana di semua peringkat. Banyak maklumat disampaikan Nadma kepada orang ramai tentang informasi banjir seperti data hujan dan maklumat paras air yang disebar melalui media massa serta media sosial.
Orang ramai perlu selalu merujuk kepada maklumat disediakan itu bagi mendapatkan informasi lebih terperinci dan membuat persediaan.
Pada masa sama, pemilik akaun media sosial diingatkan supaya tidak menularkan atau berkongsi gambar mahupun video banjir tidak sahih. Perbuatan itu hanya menimbulkan kerisauan dan panik dalam kalangan masyarakat.
Malah, mereka yang bersalah boleh didakwa di bawah undang-undang sedia ada, antaranya Kanun Keseksaan (Akta 574), Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301) serta Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).
Selain tindakan undang-undang, kerajaan diharap terus menangani penyebaran berita palsu melalui kempen promosi kepada rakyat menerusi pelbagai medium.
Langkah itu dilihat selari dengan matlamat kerajaan bagi memastikan rakyat mendapat berita dan laporan sah serta terkini.
*Mohd Izzatul Izuan Tahir ialah Ketua Wartawan Sinar Harian Selangor/Kuala Lumpur