SHAH ALAM - Keputusan tiga negeri pimpinan Pakatan Harapan (PH) yang tidak akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) jika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan dalam masa terdekat itu menunjukkan bukti ketidaksediaan pembangkang dalam menghadapi BN.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia berikutan pengalaman kekalahan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Johor, Sarawak telah menunjukkan bahawa PH tidak lagi diterima oleh pengundi mereka dahulu.
"Mereka sanggup arah kerajaan negeri mereka agar tidak bubar DUN atas ketakutan ini, sedangkan mereka juga bising apabila membuat pilihan berasingan sebelum ini," katanya dalam siaran di Facebooknya pada Rabu.
Pada Rabu, Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tiga negeri yang diterajui PH tidak akan mengikut jejak langkah kerajaan Persekutuan sekiranya PRU15 diadakan pada musim banjir.
Dalam pada itu, menurut Ahmad Zahid, musuh BN itu juga didakwa sering menyatakan kos pilihan raya sangat besar sedangkan tindakan mereka tidak mahu bubar DUN merupakan pembaziran kos dan meningkatkan perbelanjaan kerajaan.
"Kali ini pembangkang gunakan isu musim tengkujuh pula untuk alasan elak pilihan raya.
"Alasan ini basi dan menyerlahkan lagi ketidakberanian pembangkang berdepan BN.
"Alasan pembangkang ini seolah-olah pembangkang tidak yakin dan memperkecilkan pengalaman dan profesionalisme institusi awam termasuk agensi kesihatan, keselamatan dan agensi bencana," ujarnya.