Format baharu Piala Malaysia 2022 fleksibel

Iklan
Kuala Lumpur City FC menamatkan penantian 32 tahun untuk merangkul Piala Malaysia selepas mengejutkan juara bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT) 2-0 pada aksi final di Stadium Nasional Bukit Jalil. FOTO: AGENSI

PERUBAHAN format saingan Piala Malaysia 2022 yang memansuhkan perlawanan peringkat kumpulan musim ini disifatkan sebagai relevan dengan situasi semasa.

Malah perubahan itu dianggap pasukan secara tidak langsung memberikan ruang mencukupi kepada pasukan untuk lebih bersedia mengharungi kejuaraan.

Iklan
Iklan

Pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee berkata, aspek jadual dan cuaca yang tidak menentu ketika ini adalah wajar untuk menjadi faktor kepada perubahan format Piala Malaysia kali ini memandangkan pasukan juga enggan lagi berdepan sebarang kemungkinan yang tidak diingini.

Jadi menurutnya, ini merupakan keputusan yang adil untuk semua pihak dalam memastikan semua perlawanan Piala Malaysia musim ini berjalan dengan lancar.

Iklan

"Ini satu kelainan untuk Piala Malaysia dan saya boleh faham kesuntukan masa serta cuaca yang tidak menentu ketika ini menjadi faktor.

"Pihak MFL pastinya telah memikirkan sedalam-dalamnya tentang perkara ini, jadi bagi pihak Sabah FC sudah tentu kami menerima baik format kali ini.

Iklan

"Ini kerana pada masa sama kita juga dapat menjimatkan kos pasukan Sabah yang terpaksa terbang ulang-alik setiap kali bermain dan ini akan dapat mengurangkan kos.

"Bahkan, jumlah perlawanan pada musim ini juga saya rasa amat mencukupi sepertimana yang kita kehendaki di mana pasukan memerlukan sekurang-kurangnya 30 perlawanan, jadi tiada masalah," katanya.

Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) sebelum ini mengumumkan bahawa kejuaraan tertua di Asia itu menyaksikan tiada aksi peringkat kumpulan di mana semua pasukan akan diundi untuk memulakan cabaran di pusingan 16 pasukan secara timbal balik.

Sementara itu, pengendali PJ City FC, P Maniam pula menganggap format tersebut akan memberi kelebihan kepada skuad Harimau Malaya juga yang akan bersedia untuk Kejuaraan Piala AFF Mitsubishi Electric 2022, Disember ini.

"Saya rasa format ini bagus sebab kita pun tahu skuad kebangsaan kena bersedia untuk Kejuaraan AFF dan ini adalah yang terbaik.

"Lagi satu, musim kita tahun ini juga agak panjang jadi sudah tentu kita sudah tidak ada banyak masa dan pasukan kita sendiri pun ada masa untuk lebih fokus kepada sesuatu perlawanan dengan format ini," katanya.

Format Piala Malaysia 2022, semua 16 pasukan akan berentap di pusingan kalah mati dari pusingan pertama, suku akhir dan separuh akhir dengan format timbal balik tanpa perlu melalui perlawanan di peringkat kumpulan.

Untuk rekod perlawanan akhir akan diadakan di venue neutral yang diumumkan kemudian MFL.

Sementara itu, pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Hector Bidoglio, menerima perubahan tersebut dengan positif selepas melalui musim yang agak padat terutama bersaing di Liga Juara-Juara Asia.

"Kami telah melalui banyak perlawanan tertunda ekoran sebelum ini perlu bersaing di peringkat kumpulan Liga Juara-Juara.

"Jadi pengurangan empat perlawanan (dari 11 kepada tujuh perlawanan secara keseluruhan) sememangnya melegakan tetapi semua perlawanan itu tetap dijangkakan sukar serta sengit,” katanya.

Bagi pengendali Kedah Darul Aman (KDA) FC, Aidil Sharin Sahak, juga tiada masalah menerima format itu sambil mengakui membantu skuadnya yang mempunyai sedikit pilihan pemain.

"Kami tidak ada skuad sebesar Selangor, Terengganu atau JDT yang ada pilihan lebih besar (reserve team).

"Sebahagian besar pemain yang kami gunakan adalah bakat-bakat muda dan saya percaya mereka boleh menunjukkan sesuatu di Piala Malaysia nanti,” katanya.