KUALA LUMPUR - Dakwaan pembubaran Parlimen sama ada berlaku pada hari ini atau Jumaat hanya dianggap spekulasi sehingga pengumuman rasmi dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob setelah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Ramli Mohd Nor menegaskan, perjalanan Dewan Rakyat termasuk perbahasan rang undang-undang (RUU) yang dibentangkan wakil kerajaan hari ini berjalan seperti biasa selagi tiada sebarang kenyataan rasmi dibuat.
"Soal pembubaran Parlimen masih lagi spekulasi sepertimana yang dikatakan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat (Tan Sri Azhar Azizan Harun), ia masih spekulasi.
"Apa yang telah dinyatakan itu, kita akan teruskan sidang seperti biasa sehingga ‘the moment comes’ (tiba masanya). Kita tidak tahu lagi, maka kita teruskan bersidang sehingga perkara itu berlaku,” katanya ketika mempengerusikan Dewan Rakyat pada Khamis.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Teresa Kok (PH-Seputeh) sama ada tindakan wakil rakyat membahaskan RUU yang dibentang di Parlimen menjadi sia-sia sekiranya Parlimen dibubarkan hari ini atau Jumaat.
Sebelum itu, Teressa dilihat bangun untuk menanyakan soalan kepada Ramli selepas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Mas Ermieyati Samsudin menyokong cadangan pembentangan pindaan RUU Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 2022.
"Dalam minggu ini kita sudah bahas beberapa pindaan dan RUU, sekiranya Parlimen bubar malam ini atau esok, adakah perbahasan ini sia-sia sahaja? Dalam kerajaan baharu adakah semua RUU ini akan dikemukakan dan dibahas semula,” soalnya.
Sinar Harian sebelum itu melaporkan, isu pembubaran Parlimen semakin hangat diperkatakan apabila mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada Jumaat lalu sepakat memutuskan pembubaran Parlimen perlu dibuat segera bagi membolehkan PRU15 diadakan tahun ini juga.
Perkara itu dinyatakan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan di mana Ismail Sabri selaku Perdana Menteri akan mempersembahkan cadangan tarikh PRU15 kepada Yang di-Pertuan Agong.