PENGENDALI Kuala Lumpur City FC, Bojan Hodak mengakui kejayaan mara ke perlawanan akhir Piala Akhir AFC 2022 saling tidak tumpah seperti mana pasukannya mara ke final Piala Malaysia musim lalu.
Bagaimanapun, Bojan menyifatkan kejayaan kali ini lebih manis berbanding apa yang diraihnya sebelum ini memandangkan status pasukannya yang berbelanja kecil serta kerdil namun mampu untuk melangkah ke pentas akhir dalam kejohanan peringkat Asia.
"Kejayaan mara ke perlawanan akhir ini umpama mimpi sama seperti yang dilakukan di kejohanan Piala Malaysia musim lalu. Kami adalah kelab yang kecil dengan bajet yang kecil.
Sebelum ini, KL City mengesahkan slot ke perlawanan akhir Piala AFC 2022 selepas menewaskan kelab Uzbekistan, PFC Sogdiana 5-3 menerusi penentuan penalti selepas terikat tanpa jaringan sehingga masa tambahan pada aksi final antara zon di Stadium Kompleks Sukan Sogdiana pada Rabu.
Kejayaan itu menyaksikan City Boys kini selangkah untuk menyamai rekod Johor Darul Ta'zim (JDT) memenangi Piala AFC pada 2015.
Dalam pada itu, Hodak berpandangan, disiplin tinggi yang dipamerkan barisan pemainnya di atas padang menjadi penyumbang kepada keberkesanan percaturan dan meraih kejayaan sepanjang perlawanan di pentas Piala AFC.
"Sebelum perlawanan saya katakan bahawa kelab dan bola sepak Uzbekistan berada di tahap tinggi Asia berbanding Malaysia, saya jangka mereka akan dominasi permainan terutama apabila beraksi di tempat sendiri.
"Kami berjaya menyekat gerakan serangan mereka dan menunggu untuk melakukan serangan balas. Pemain melakukan tugas dengan baik sepanjang permainan,” ujarnya.
Pada masa yang sama, Bojan turut mengakui pasukannya akan berdepan satu lagi cabaran besar menentang Al Seeb pada perlawanan akhir dan akan cuba membina pasukan yang ampuh dalam tempoh baki masa yang ada.
"Ini akan menjadi satu lagi cabaran besar buat kami dan apa yang perlu saya lakukan sebagai jurulatih adalah untuk menghentikan serangan pasukan lawan. Kami sudah lakukannya di Vietnam, India dan kini di Uzbekistan apabila kami berjaya mengehadkan peluang pasukan lawan.
"Untuk final nanti kami akan mengenal pasti kelemahan lawan dan akan cuba mencari ruang untuk melancarkan serangan terutama menerusi serangan balas,” tambah Bojan.