Agong titah beri perhatian sistem amaran awal banjir

Iklan
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (tengah) berkenan mendengar taklimat persiapan bencana dan banjir di Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Ampang pada Khamis.

KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Khamis menitahkan agar Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) memberi perhatian kepada sistem amaran awal bencana sebagai persiapan menghadapi banjir.

Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Al-Sultan Abdullah turut menitahkan supaya perhatian diberikan terhadap proses pengagihan bantuan kepada rakyat yang terjejas jika berlaku bencana.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, Seri Paduka bertitah demikian pada sesi sembah taklimat cuaca dan banjir di Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), di sini pada Khamis.

"Pada taklimat hari ini, JPS dan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) sembah maklum data, persiapan dan lokasi ‘hotspot' banjir kepada Seri Paduka dan Tuanku berpuas hati.

Iklan

"Tuanku menekankan soal sistem amaran awal dan kita sembah maklum bahawa KASA telah menambahkan fasiliti amaran awal seperti siren dan kemudahan lain terutama kawasan hotspot.

"Tuanku juga titahkan pelarasan dari segi bantuan di bawah NADMA (Agensi Pengurusan Bencana Negara) dengan agensi lain bagi mengelakkan kekeliruan di samping bantuan sampai kepada mangsa," kata beliau kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas sesi sembah taklimat itu yang turut dihadiri Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Iklan

Terdahulu, Al-Sultan Abdullah berkenan berangkat ke sesi sembah taklimat itu yang diadakan secara tertutup bagi mengetahui kesiapsiagan agensi terlibat untuk menghadapi Monsun Timur Laut 2022/2023 yang dijangka bermula pertengahan November ini dan berakhir pada Mac 2023.

Turut hadir Ketua Setiausaha KASA Datuk Seri Dr Zaini Ujang, Ketua Pengarah JPS Datuk Dr Md Nasir Md Noh dan Ketua Pengarah MetMalaysia Muhammad Helmi Abdullah.

Sembah taklimat selama dua jam itu bermula dengan keadaan cuaca dan persiapan banjir daripada JPS serta MetMalaysia seterusnya berhubung situasi terkini Covid-19 serta kesediaan Kementerian Kesihatan (KKM) menghadapi banjir oleh Khairy.

Al-Sultan Abdullah kemudian berkenan melawat pusat kawalan PRABN.

Sementara itu, Khairy berkata, KKM turut mempersembahkan persiapan serta penempatan petugas kesihatan di pusat pemindahan sementara (PPS) serta perancangan sekiranya fasiliti kesihatan awam turut dilanda banjir.

Ditanya sama ada sesi sembah taklimat itu turut menyentuh soal persiapan pelaksanaan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), beliau berkata perbincangan taklimat hanya menjurus kepada persediaan menghadapi musim banjir.

"Tuanku hanya minta pandangan isu ini secara biasa bukan (kerana) PRU15, sebab memang kita berdepan Monsun Timur Laut, tak ada perbincangan selanjutnya (mengenai PRU15). Tuanku sangat cakna dengan kesejahteraan rakyat," katanya. - Bernama.