PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob terus berteka-teki sama ada Bajet 2023 dibentangkan di Dewan Rakyat seperti dijadualkan ataupun tidak.
Menurutnya, pelbagai spekulasi mengenai Bajet 2023 akan menemui jawapannya esok.
"Tunggu esok. Kalau saya sebut bentang hari ini, sudah tiada debarannya," katanya kepada pemberita selepas membuat tinjauan persiapan akhir Bajet 2023 di Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) pada Khamis
Beliau berkata, pihaknya sedar terdapat spekulasi mengenainya.
Selasa lalu, jurucakap MOF mengesahkan pembentangan Bajet 2023 diteruskan pada Jumaat ini meskipun terdapat spekulasi bahawa Ismail Sabri akan menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi memohon pembubaran Parlimen sebelum Jumaat.
Menyentuh mengenai kehadirannya ke MOF, Ismail Sabri berkata, ia sebagai tanda ucapan terima kasih kepada pegawai kementerian yang bertungkus-lumus menyedia dan menyiapkan kertas pembentangan.
"Saya difahamkan kebanyakan mereka ini sudah tiga minggu tidur di kementerian kerana menyediakan bajet dan sebagainya.
"Jadi saya datang untuk berjumpa mereka sendiri mengucapkan terima kasih di atas usaha ini," katanya.
Ismail Sabri tiba di MOF jam 12.13 tengah hari disambut Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Mohd Shahar Abdullah serta Timbalan Menteri Kewangan II, Datuk Yamani Hafez Musa selain pegawai kanan kementerian.