IPOH - Banjir kilat yang berlaku di Rancangan Perkampungan Tersusun (RPT) Chepor di sini pada Selasa pulih sepenuhnya.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kinta, Meor Hezbullah Meor Abd Malik berkata, susulan itu juga Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang dibuka di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Kelebang sebelum ini ditutup pada jam 2.30 petang pada Khamis.
Menurutnya, semua mangsa telah kembali ke rumah masing-masing setelah kerja-kerja pembersihan selesai dilakukan.
"Setelah membuat pemantauan bersama Komander Operasi, Bomba, Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta melalui aktiviti ketekunan waja oleh Pejabat Penghulu Mukim Hulu Kinta dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) yang mendapati keadaan ketika ini telah selamat dari bencana banjir, maka dengan ini saya mengumumkan penutup PPS ini.
"Saya mengambil kesempatan di sini merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua agensi kerajaan dan semua pihak yang bersungguh-sungguh terlibat membantu dan menyelaras selia PPS dengan terbaik sepanjang ia beroperasi," katanya dalam makluman ringkas kepada media pada Khamis.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan seramai 93 mangsa banjir di RPT Chepor di sini dipindahkan ke PPS susulan banjir kilat yang berlaku malam Selasa.
Daripada 60 keluarga yang terjejas, sebanyak 33 keluarga yang mendaftar di PPS SK Seri Kelebang, di sini ketika kejadian.
Baki mangsa yang tidak mendaftar telah pulang ke kediaman apabila air kembali surut dan sebahagian lagi menginap di rumah saudara mara terdekat.