GEORGETOWN - Kerajaan digesa menaikkan harga dan cukai rokok menerusi Bajet 2023 yang akan dibentangkan pada Jumaat bagi mengurangkan amalan serta tabiat merokok dalam kalangan rakyat khususnya golongan muda.
Pegawai Pendidikan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), SV Subbarow berkata, statistik ketika ini menunjukkan negara mempunyai kira-kira tujuh juta perokok manakala kerajaan membelanjakan RM6.2 bilion untuk merawat tiga penyakit berkaitan merokok utama pada 2020.
Menurutnya, sekiranya harga rokok dinaikkan, jumlah perokok akan berkurangan.
"Sekiranya kerajaan menaikkan cukai dan harga rokok, kita yakin amalan menghisap rokok akan mula berkurangan termasuk risiko penyakit yang dihadapi. Perokok tegar akan berfikir terlebih dahulu untuk membeli sekotak rokok jika harganya tinggi," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Subbarow berkata, ketika ini, dianggarkan kira-kira 20,000 kematian dilaporkan disebabkan merokok setiap tahun di negara ini.
"Ada bukti menunjukkan kenaikan harga rokok akan mengurangkan penggunaan rokok dan dalam jangka panjang, perokok lebih cenderung untuk berhenti merokok.
"Antara negara yang telah menguatkuasakan kenaikan cukai rokok termasuk Indonesia, Thailand, Singapura dan Brunei sekali gus ia wajar dicontohi Malaysia.