SHAH ALAM - Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) berpandangan membubarkan Parlimen pada waktu ini adalah satu tindakan yang tidak bertanggungjawab dengan mengambil ramalan banjir melanda negara pada penghujung tahun ini dan awal tahun hadapan.
Presidennya, Badlishah Sham Baharin berkata, tindakan membubarkan Parlimen secara tergesa-gesa merupakan tindakan tidak wajar.
"Melaksanakan Pilihan Raya Umum (PRU) ketika rakyat sedang bergelut dengan banjir adalah satu kezaliman yang disengajakan kepada rakyat, malah kerajaan juga akan menanggung kerugian yang besar.
"Ikram berpandangan bahawa kerajaan hendaklah memberi tumpuan kepada menyelesaikan permasalahan ekonomi dan kejatuhan nilai ringgit khususnya berkaitan dengan kenaikan mendadak kos sara hidup," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
"Ikram menyambut baik penguatkuasaan pindaan undang-undang larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti (Akta A1663) yang bermula pada 5 Oktober 2022, selepas diperkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan, Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah," ujarnya.
Beliau menambah, PRU merupakan satu amalan demokrasi yang sangat penting bagi negara serta melibatkan semua rakyat yang layak mengundi.
"Tindakan membubarkan Parlimen secara tergesa-gesa adalah tidak wajar sama sekali.
"Kepentingan rakyat dan negara perlu sentiasa menjadi keutamaan dalam apa juga keadaan," jelasnya.