GEORGETOWN - Tiga suspek termasuk seorang wanita menggunakan rumah lama yang ditinggalkan bagi menjalankan kegiatan memproses air ketum di daerah Barat Daya di sini.
Hasil risikan mendapati, mereka juga sering mengubah lokasi dari semasa ke semasa bagi mengelirukan pihak berkuasa.
Komander Polis Marin Wilayah 1, Asisten Komisioner Rosman Ismail berkata, ketiga-tiga suspek itu ditahan ketika sedang membungkus air ketum di sebuah rumah tidak bernombor di Permatang Damar Laut.
Menurutnya, rumah tersebut adalah sebuah rumah tinggal di sebuah kampung dan terletak di pesisiran pantai.
"Ketiga-tiga suspek yang berusia lingkungan 20 hingga 35 tahun ditahan dalam Ops Landai yang melibatkan sembilan polis marin dan empat anggota polis dari Cawangan Narkotik Ibupejabat Polis Daerah Barat Daya.
"Mereka ditahan pada jam 10 pagi tadi setelah mendapat maklumat orang ramai mengenai kegiatan mereka di rumah kosong berkenaan. Hasil serbuan, polis merampas lebih 1,000 bungkus air ketum yang siap diproses.
"Turut dirampas, 90 kilogram daun ketum yang belum diproses. Nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM9,600," katanya pada sidang media hari ini.
Tambahnya, polis masih menyiasat hubungan ketiga-tiga suspek berikutan penahanan wanita berkenaan.
"Kita masih menyiasat hubungan wanita itu dengan kedua-dua lelaki tersebut. Hasil siasatan awal, kesemua rampasan adalah untuk pasaran tempatan yang mana kebanyakan pelanggan mereka adalah nelayan dan pekerja kampung.
"Mereka mendakwa air ketum berkenaan boleh memberi tenaga untuk mereka membuat kerja. Ketiga-tiga suspek didapati baru satu hingga dua bulan menjalankan kegiatan memproses ketum ini," katanya.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 yang memperuntuk hukuman denda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih empat tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.