PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengucapkan tahniah kepada pasukan Kuala Lumpur (KL) City FC yang berjaya mara ke perlawanan akhir Piala AFC setelah menumpaskan PFC Sogdiana.
"Ini merupakan satu sejarah baharu buat KL City di peringkat Asia yang harus kita banggakan.
"Saya berharap seluruh Keluarga Malaysia dapat memberi sokongan yang padu buat KL City pada perlawanan akhir menentang Al Seeb pada 22 Oktober ini,” kata Ismail Sabri dalam satu kemas kini dalam laman Facebooknya, pada Khamis.
Juara bertahan Piala Malaysia, KL City FC mencipta sejarah apabila menumpaskan kelab Uzbekistan, PFC Sogdiana pada final antara zon Piala AFC 2022, 5-3, menerusi sepakan penalti, semalam.
Pada aksi di Kompleks Sukan Sogdiana, Uzbekistan itu menyaksikan kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan pada perlawanan itu sebelum juara ditentukan menerusi sepakan penalti.
Kejayaan sensasi dilakar anak buah Bojan Hodak itu menyaksikan mereka layak ke final Piala AFC 2022 buat kali pertama dijadual bertemu Al Seeb pada 22 Okt ini selepas wakil Oman itu membelasah kelab Bahrain, Al Riffa, 4-0, pada aksi final zon barat kelmarin. - Bernama