Rasuah Busters bertemu warga pendidik

Iklan
Antara 100 warga pendidik daerah Baling yang mengikuti Taklimat Keselamatan dan Pencegahan Rasuah pada Selasa.

BALING - [DIKEMAS KINI] Kira-kira 100 warga pendidik diberi pendedahan mengenai pergerakan Rasuah Busters yang kini menjelajah ke seluruh negara bagi menyatakan kepentingan gerakan tersebut kepada umum.

Wakil Rasuah Busters Kedah, Sharifah Noor Ainaa Syed Nasir berkata, pendedahan itu dibuat berikutan golongan pendidik antara elemen terpenting dalam pembentukan karekter dan penyediaan modal insan generasi akan datang.

Iklan
Iklan

Menurutnya, gerakan bersama yang didokong pelbagai latar belakang penglibatan badan bukan kerajaan (NGO), pihak kerajaan dan swasta berupaya mewujudkan satu gabungan dalam usaha memerangi rasuah.

"Pendidikan adalah kunci utama dalam pembangunan masyarakat dan negara, peranan warga pendidik untuk menanam semangat dan komitmen bebas rasuah adalah langkah tepat," katanya.

Iklan
Pegawai Pendidikan Daerah Baling, Abdul Rashid Abdul Rahman (tiga dari kiri) bersama Bakhtiar Effendy (empat dari kanan) dan Sharifah Noor Ainaa (dua dari kanan) semasa selesai taklimat di Pejabat Pendidikan Daerah Baling.

Beliau berkata demikian ketika hadir dalam Taklimat Keselamatan dan Pencegahan Rasuah di Pejabat Pendidikan Daerah Baling pada Selasa.

Taklimat bertajuk ancaman scammer kepada penjawat awam dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) itu disampaikan Ketua Penolong Pengarah MKN Kedah, Bakhtiar Effendy Khalid.

Iklan
Sharifah Noor Ainaa

Dalam masa sama, Sharifah Noor Ainaa menjelaskan, rasuah menafikan hak mereka yang berhak, anak yang bijak diketepikan daripada mendapat tempat yang sepatutnya, kemudahan pendidikan, hospital dan pengangkutan yang seharusnya boleh menjadi lebih baik tidak dapat dinikmati.

Sementara itu, Penolong Setiausaha Rasuah Busters Kedah, Siti Aishah Hassan berkata, pendidikan rasuah dianggap remeh sesetengah pihak namun sebenarnya penting diterapkan seawal mungkin terutama kepada kanak-kanak, pelajar sekolah rendah dan menengah.

"Begitu juga dengan tindakan pelajar yang meminta rakan menyiapkan kerja sekolah dan diberi upah, ia juga boleh dikategorikan sebagai rasuah," katanya.

Siti Aishah

Jelas Siti Aishah, sekiranya perbuatan itu terbawa-bawa sehingga ke peringkat pengajian di universiti dan alam pekerjaan, boleh memberi kesan keruntuhan akhlak sekali gus mewujudkan kepimpinan yang tidak beretika dan memusnahkan negara.