PUTRAJAYA - Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menegaskan tempoh masa enam jam untuk majikan mengambil pekerja asing di pintu masuk utama di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, bagaimanapun peraturan yang bermula sejak tahun 2015 itu dipertimbangkan kelewatan sehingga 10 jam dengan syarat majikan boleh dihubungi sepanjang tempoh itu.
"Dalam melaksanakan peraturan ini, jabatan akan memberi kelonggaran kepada majikan yang terlewat untuk mengambil pekerja asing.
"Maksimum tempoh yang dipertimbangkan kelewatan adalah selama 10 jam dengan syarat majikan boleh dihubungi dalam tempoh tersebut," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Tambah beliau, selain itu majikan juga boleh diwakili oleh wakil yang dilantik atau Agensi Pekerjaan Swasta dengan mengeluarkan Surat Perwakilan Kuasa.
Khairul Dzaimee berkata, peraturan yang mewajibkan majikan mengambil pekerja asing di pintu masuk telah dikuatkuasakan sejak tahun 2014.
Jelasnya, penetapan tempoh pengambilan pekerja asing pada waktu tersebut pada asalnya ditetapkan selama 72 jam dan dipendekkan kepada 48 jam, akhirnya kepada 24 jam.
"Bermula tahun 2015, tempoh masa untuk majikan mengambil pekerja asing adalah enam jam," katanya.
Menurut Khairul Dzaimee, rasional pelaksanaan ini adalah bagi memastikan semua pekerja asing baharu mempunyai majikan yang sah dan tidak menjadi mangsa pemerdagangan orang atau tinggal sebagai pendatang asing tanpa izin (PATI) di Malaysia.
Tambahnya, bagi tahun ini setakat 3 September, imigresen telah menerima permohonan untuk membawa masuk pekerja asing sebanyak 319,945.
"Daripada jumlah ini, sebanyak 308,189 Visa Dengan Rujukan (VDR) telah diluluskan yang merangkumi 247,985 secara eVDR dan 60,204 secara manual.
"Sebanyak 11,756 permohonan masih dalam proses untuk pertimbangan kelulusan dan akan diselesaikan dalam masa tujuh hari bekerja," katanya.
Menurut beliau, kelulusan VDR yang telah diberikan mengikut sektor adalah pembantu rumah asing (25,980), pembinaan (17,977), perkhidmatan (60,488), perkilangan (145,774), perladangan (39,008) dan pertanian (18,962).
Ujarnya, jumlah pekerja asing baharu yang telah masuk bagi tahun ini sehingga 2 Oktober adalah seramai 118,229 orang.
"Jumlah pekerja asing semasa di negara ini yang memegang pas lawatan kerja sementara (PLKS) adalah seramai 1,303,398 orang. Majikan boleh mendapatkan keterangan lanjut mengenai prosedur permohonan pekerja asing serta lain-lain maklumat yang berkaitan di laman web rasmi JIM, www.imi.gov.my," katanya.