SHAH ALAM - Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan membidas pendirian Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung penetapan tarikh Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Katanya, Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh itu dilihat tidak konsisten berhubung keperluan mengadakan PRU dalam masa terdekat.
"Nampaknya Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin ‘flip-flop' bukan setakat dalam bab mengurus negara dengan ‘lockdown’ separuh masak, tutup buka tutup buka. Tetapi juga berkaitan dengan pendiriannya berhubung pilihan raya.
Seramai 12 ahli kabinet daripada parti gabungan PN meliputi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas dilaporkan menghantar surat kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah baru-baru ini untuk menyatakan pendirian mereka yang tidak bersetuju dengan pelaksanaan PRU15 kerana bimbang dengan risiko banjir.
Dalam pada itu, Shahril berkata, surat tersebut dilihat tidak menyokong kenyataan Ketua Penerangan PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang menyebut bahawa ‘majoriti’ anggota jemaah menteri memohon Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob agar PRU15 tidak adakan pada tahun ini.
"Satu kenyataan janggal apabila hanya 12 daripada 32 menteri kabinet yang ada hantar surat kepada Istana Negara.
"Jadi sekarang ni bagaimana Tan Sri Muhyiddin? PM dah hebat uruskan ekonomi? Atau sebenarnya PN takut tidak akan mendapat sokongan rakyat?” soal beliau.