JDT, KL CITY bertemu kembali di final Piala Malaysia 2022?

Iklan
JDT dan KL City diundi dalam blok berbeza, menyaksikan kedua-dua pasukan hanya berpeluang bertemu pada final edisi ke-96 atau ulang tahun ke-101 kejohanan berprestij itu, musim ini.

PEMINAT bola sepak tempatan sekali lagi berpeluang menyaksikan pertarungan antara juara Liga Super sembilan kali berturut-turut, Johor Darul Ta’zim (JDT) dan juara bertahan Kuala Lumpur (KL) City FC pada aksi final saingan Piala Malaysia.

Menurut undian Piala Malaysia 2022 yang dijalankan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) hari ini, JDT dan KL City diundi dalam blok berbeza, menyaksikan kedua-dua pasukan hanya berpeluang bertemu pada final edisi ke-96 atau ulang tahun ke-101 kejohanan berprestij itu, musim ini.

Iklan
Iklan

Mengikut undian tersebut, JDT yang juga juara 2017 dan 2019, selaku juara Liga Super akan bertemu pasukan yang bakal menamatkan saingan di kedudukan kesembilan liga pada 15 Oktober ini, yang kini dihuni oleh Petaling Jaya (PJ) City FC.

Skuad Harimau Selatan itu seterusnya akan bertemu pemenang antara Kelantan FC atau pasukan yang menamatkan saingan di kedudukan ke-10 liga.

Iklan

Cabaran sebenar untuk JDT dijangka pada separuh akhir, apabila bertemu pasukan di tempat ketiga liga, yang boleh menjadi milik Sabah FC, Terengganu FC dan Negeri Sembilan.

Sementara itu, laluan bagi KL City dijangka lebih sukar kerana sekiranya mengekalkan kedudukan kelima liga, pasukan warga kota itu akan membuka kempen menentang Kelantan United FC, dan bertemu naib juara Liga Super pada separuh akhir.

Iklan

Namun, jika skuad ‘The City Boys’ turun ke kedudukan keenam, mereka akan dicabar oleh PDRM FC di peringkat 16 pasukan terbaik, dan seterusnya bertemu naib juara liga di suku akhir.

KL City muncul juara Piala Malaysia buat kali keempat, selepas menewaskan JDT 2-0 pada final tahun lepas.

Saingan Piala Malaysia 2022 akan membuka tirai pada 25 dan 26 Oktober ini.

MFL menukar format Piala Malaysia kali ini berikutan kekangan masa dan risiko bencana, menyaksikan saingan akan bermula dengan peringkat 16 terakhir yang berlangsung secara format kalah mati menggunakan aksi timbal balik sehingga separuh akhir, manakala final akan diadakan di venue berkecuali.

Mengikut format sebelum ini, 16 pasukan dari Liga Super dan Liga Premier akan diundi dalam empat kumpulan, dengan dua pasukan terbaik setiap kumpulan akan mara ke peringkat suku akhir. - Bernama