474,311 mahasiswa mohon peranti siswa fasa kedua

Iklan
Noraini
BATU PAHAT - Sebanyak 474,311 mahasiswa dari seluruh negara memohon kemudahan peranti di bawah Program Peranti Siswa Keluarga Malaysia fasa kedua yang telah ditutup pada 30 September lepas.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, sebanyak 376,180 pemohon adalah daripada institut pengajian tinggi (IPT) dan bakinya adalah pelajar di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM).

Beliau berkata, daripada jumlah berkenaan 58 peratus adalah pelajar IPT awam, 28 peratus pelajar IPT swasta, 12 peratus pelajar politeknik dan dua peratus pelajar kolej komuniti.

"Dalam pada itu, pihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menyasarkan pengagihan Peranti Siswa Keluarga Malaysia ini akan selesai dalam tempoh dua bulan,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Sebelum itu, Noraini yang juga Ahli Parlimen Parit Sulong menyampaikan peranti di bawah program tersebut kepada 50 orang pelajar dari parlimen berkenaan, mewakili 375 pelajar lain yang berstatus lulus di Universiti Tun Hussein Onn (UTHM) pada Khamis.

Pada majlis itu, beliau turut menyempurnakan majlis penyerahan Bantuan Pengajian KPT-Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) Prihatin bagi membantu pelajar kurang berkemampuan bagi menampung kos sara hidup di IPT.

Beliau berkata, bantuan itu juga diharapkan dapat mengurangkan kebergantungan pelajar terhadap pinjaman pendidikan sekali gus mengurangkan keberhutangan pelajar.

"Bantuan ini melibatkan 38 orang pelajar di kawasan Parlimen Parit Sulong yang mengikut pengajian di IPT seluruh negara dengan peruntukan berjumlah RM19,000.00.

"Setiap penerima akan menerima bantuan sara hidup sebanyak RM500 secara sekali beri yang akan disalurkan ke dalam akaun bank pelajar iaitu bank pembayar pinjaman PTPTN,” katanya. -Bernama