SELANGOR menyumbang hampir 25 peratus ekonomi Malaysia dan kekal sebagai destinasi pilihan pelabur dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, data terkini Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) menunjukkan pelaburan global telah meningkat dengan pesat.
Menurutnya, Malaysia berjaya menarik sebanyak RM43.1 bilion pelaburan dalam sektor pembuatan pada separuh masa tahun 2022 dengan pelaburan langsung asing (FDI) menyumbang sebanyak RM35.5 bilion.
"Oleh itu, kita sudah melihat peningkatan dari segi pelaburan masuk dalam tempoh enam bulan pertama 2022 untuk Malaysia dan Selangor. Kami cukup yakin sepanjang tahun 2022, Selangor akan dapat mencapai sasaran pelaburan masuk sebanyak RM10 bilion dengan jayanya,” katanya pada majlis perasmian Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor 2022 (SIBS 2022) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada Khamis.
Pembukaan SIBS 2022 yang berlangsung selama empat hari bermula Khamis telah dirasmikan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.
Turut hadir, Exco Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Industri Kecil dan Sederhana (IKS) Selangor, Datuk Teng Chang Khim.
Amirudin berkata, Selangor mempunyai kelebihan geografi sebagai pintu masuk perdagangan di ASEAN menerusi dua lapangan terbang antarabangsa dan pelabuhan kontena kedua tersibuk di rantau ini.
Selain itu katanya, Selangor turut mempunyai pelbagai landasan kereta api domestik, jalan raya dan laluan udara termaju ke hab ekonomi di Malaysia.
"Taman perindustrian Selangor yang mantap, rantaian bekalan matang dalam pelbagai industri, modal insan mahir dan sambungan internet menjadikan Selangor ideal sebagai hab perniagaan global.
"Sememangnya Selangor adalah lokasi terbaik di rantau ini untuk pelabur antarabangsa yang merancang untuk menembusi pasaran ASEAN dan antarabangsa,” jelasnya.
Beliau berkata, objektif utama penganjuran SIBS 2022 adalah untuk mengumpulkan pemain industri dalam satu acara bagi memperkenalkan Selangor sebagai pintu masuk ke ASEAN.
Katanya, melalui pelbagai persidangan dan pameran, beliau yakin SIBS adalah peluang terbaik mengembangkan perniagaan.