[VIDEO] Sultan Selangor dukacita perbalahan netizen di media sosial

Iklan
Sultan Sharafuddin (depan kanan) berkenan menyempurnakan Majlis Perasmian Masjid Rajah Lumu Kuala Selangor pada Khamis.

KUALA SELANGOR - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa dukacita apabila membaca komen keterlaluan dalam kalangan netizen di media sosial dengan mengeluarkan ayat berunsur fitnah, cacian dan hasad dengki.

Sultan Sharafuddin bertitah, lebih mengecewakan apabila ayat cercaan dan penghinaan disokong netizen lain tanpa usul periksa.

Iklan
Iklan

Menurut baginda, perbuatan itu jika tidak dibendung dan ditangani dengan bijak dari masa ke masa dikhuatiri merosakkan pemikiran masyarakat khususnya generasi muda.

"Beta tidak mahu gejala seumpama ini terus menular sehingga boleh menjejaskan keharmonian rakyat dan kekuatan perpaduan pada masa jangka masa panjang," titah baginda pada Majlis Perasmian Masjid Raja Lumu Kuala Selangor pada Khamis.

Iklan

Baginda bertitah, perbalahan dan pertelingkahan secara terbuka dan tabiat 'baling batu sembunyi tangan' sesama kaum Melayu hanya melemahkan dan mengakibatkan perpecahan yang merugikan bangsa dan agama.

Jelas baginda, perpaduan dalam kalangan kaum Melayu amat penting dan perlu dipelihara demi masa depan serta generasi akan datang.

Iklan

"Perpaduan adalah asas kepada pembangunan sesebuah negara dan umat yang berpecah akan membawa kehancuran," titah Sultan Sharafuddin.

Justeru tegas baginda, kaum Melayu beragama Islam perlu sentiasa merujuk kepada ajaran agama dalam setiap tindak-tanduk dan kehidupan harian.

Menurut Sultan Sharafuddin, nilai murni perlu diterapkan seperti bersikap jujur dan ikhlas serta mempunyai sifat berbaik sangka, tolong menolong, bersatu-padu, bertolak ansur dan sentiasa memaafkan antara satu sama lain.

"Beta mahu rakyat di negeri Selangor hidup dalam keadaan selesa, harmoni dan menikmati kekayaan negeri secara adil dan saksama," titah baginda.

Sehubungan itu, Sultan Sharafuddin menitahkan agar masyarakat Melayu terus merapatkan saf, melupakan sengketa dan perselisihan faham dan mula memikirkan untuk bangkit semula menjadi bangsa kuat, bermaruah dan bermatlamat demi kepentingan agama, bangsa serta negari.

"Beta yakin jika orang Melayu bersatu dan bekerjasama dengan erat, tiada cabaran yang tidak dapat kita atasi dan orang Melayu pasti akan mencapai kejayaan semula dan menjadi satu bangsa kuat dan bermaruah," ujar baginda.