PERSEKUTUAN Besbol Malaysia (BFM) buat julung kali akan menganjurkan Liga Besbol Kebangsaan (NBL) 2023 yang menyingkap tirai Januari depan.
Presidennya, Sazali Husain berkata, liga itu bertujuan mencungkil bakat baharu peringkat akar umbi untuk mewakili Malaysia pada masa depan.
"Pada 2017, kita tiada rakan korporat yang tampil untuk menaja liga. Pada kali ini, Aeon Big (M) Sdn Bhd dan Bubbles02 Sdn Bhd akan menjadi penaja utama Liga Besbol Kebangsaan 2023.
"Sambutan dari negeri sangat menggalakkan dengan tujuh negeri (Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Putrajaya, Kuala Lumpur, Kedah dan Perlis) sudah mengesahkan slot.
"Penyertaan untuk Liga Besbol Kebangsaan 2023 masih dibuka sehingga akhir November depan,” katanya ketika ditemui pada majlis pengumuman Aeonbig Sdn Bhd Dan Bubbles02 Sdn Bhd Sebagai Penaja Utama NBL 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Khamis.
Hadir sama Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, yang sebelum itu merasmikan EISKL 2022 dan Persidangan Industri Sukan Kebangsaan 2022.
Turut hadir Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ti Lian Ker dan Ketua Sekretariat Industri Sukan Kementerian Belia dan Sukan, Mustaza Ahmad.
Hadir sama Pengarah Urusan Aeon Big (M) Sdn Bhd, Sheikh Farouk Sheikh Mohamed dan Pengerusi Eksekutif BubblesO2 Sdn Bhd, Ariffin Marzuki
Sazali memaklumkan kejohanan itu akan menggunakan format Persekutuan Besbol Asia (BFA) dan Konfederasi Besbol-Softball Dunia (WBSC), namun disesuaikan dengan format tempatan bagi memastikan pemain dapat beraksi dengan baik.
Beliau bagaimanapun berkata, liga yang akan berlangsung kira-kira tiga bulan itu masih belum ditetapkan jumlah wang tunai bagi pasukan yang memenangi kejohanan tersebut.
"Kita sebenarnya menerima tajaan RM160,000, namun masih belum ada perbincangan dengan pihak penaja bagi jumlah wang tunai kepada pemenang.
"Bagi edisi ini kita turut membenarkan penyertaan peserta luar negara bagi membantu dalam memperkuatkan pasukan negeri masing-masing,” katanya.