JAKARTA - Enam individu terdiri daripada tiga anggota jawatankuasa penganjur dan tiga anggota polis berdepan tuduhan jenayah berkaitan tragedi 1 Oktober di Stadium Kanjuruhan, Malang, Jawa Timur yang meragut 125 nyawa termasuk kanak-kanak.
Tiga anggota polis itu adalah mereka yang bertugas semasa pertembungan 'derby Jawa Timur' antara Arema FC dan Persebaya Surabaya, kata Ketua Polis Jenderal Listyo Sigit Prabowo dalam sidang media yang disiarkan stesen televisyen tempatan.
Beliau berkata, mereka akan didakwa di bawah Perkara 359 dan 360 Kanun Keseksaan iaitu kecuaian sehingga menyebabkan kematian dan Perkara 103 perenggan 1 Undang-Undang No 11 Tahun 2022 mengenai sukan.
Listyo berkata, ketua PT Liga Indonesia Baru, organisasi yang mentadbir pertandingan bola sepak profesional Indonesia disyaki gagal memastikan stadium memenuhi syarat untuk pensijilan operasi.
Ketua jawatankuasa pengelola pertandingan Arema FC mencetak tiket melebihi kuota menjadi 42,000 tiket melampaui had 38,000 tiket dan pegawai keselamatan kelab tidak menyelaraskan penjaga pintu ketika kejadian.
Seorang anggota polis didapati gagal mencegah penggunaan gas pemedih mata meskipun tahu ia dilarang Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa, manakala dua lagi memerintahkan anggota bawahan melepaskan gas pemedih mata.
Jika sabit kesalahan keenam-enam mereka boleh dipenjara maksimum lima tahun, kata Listyo sambil menambah, pihaknya tidak menolak kemungkinan ada penambahan suspek memandangkan siasatan masih diteruskan.
Kekalahan pertama Arema FC di tempat sendiri kepada Persebaya Surabaya dalam tempoh 23 tahun mencetuskan kemarahan penyokongnya yang memasuki padang untuk bersemuka dengan pemain dan pegawai pasukan itu sebaik tamat perlawanan.
Situasi tegang memaksa pihak keselamatan melepaskan gas pemedih mata dan menyebabkan ribuan penyokong berasak-asak untuk keluar stadium melalui beberapa pintu sehingga berlaku rempuhan.
Akibat insiden itu, Arema FC didenda 250 juta rupiah (RM76,124) oleh Persatuan Bola Sepak Indonesia, manakala Polis Indonesia memecat ketua polis Malang dan sembilan lagi anggota. - Bernama