Laporan Tasik Chini telah diserahkan kepada UNESCO

Iklan
Kerajaan Pahang sudah menyerahkan laporan terperinci berhubung penambahbaikan tapak Rizab Biosfera Tasik Chini, Pekan kepada UNESCO. (Gambar kecil Mohd Sharkar)

KUANTAN - Kerajaan Pahang sudah menyerahkan laporan terperinci berhubung penambahbaikan tapak Rizab Biosfera Tasik Chini, Pekan kepada Pertubuhan Pendidikan Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada 27 September lalu.

Exco Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata, laporan terbabit diserahkan di ibu pejabat UNESCO Paris, Perancis yang diketuai Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak.

Iklan
Iklan

"Laporan penambahbaikan itu diserahkan seperti yang digariskan oleh pihak Statutory Framework World Network of Biosphere Reserves (IACBR).

"Penambahbaikan yang dilakukan dengan mengambil kira pengezonan rizab biosfera Tasik Chini, mengikut tiga fungsi tapak rizab iaitu teras, penampan dan peralihan di kawasan sekitar tasik terbabit," katanya di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang di sini pada Jumaat.

Iklan

Mohd Sharkar menjawab soalan Mohd Sharim Md Zain (BN-Chini) yang ingin tahu status pembaharuan tapak biosfera Tasik Chini oleh UNESCO.

Beliau menjelaskan, kunjungan itu turut membincangkan hala tuju dan program Manusia dan Biosfera (MAB) dalam usaha Kerajaan Negeri menambah baik pengurusan tapak MAB Rizab Biosfera Tasik Chini sejajar dengan tujuan dan objektif kerangka WNBR.

Iklan

Tambahnya, ia sekali gus mewujudkan peluang jaringan komunikasi dan jalinan kerjasama antarabangsa dengan pihak UNESCO melalui Pejabat Delegasi Tetap Malaysia ke UNESCO.

Tasik Chini adalah tapak biosfera pertama di Malaysia mendapat pengiktirafan UNESCO diikuti Banjaran Crocker, Sabah (2014) dan Bukit Bendera, Pulau Pinang September tahun lalu.

Status rizab biosfera UNESCO Tasik Chini mendapat perhatian selepas sebuah portal media tempatan pada 24 Julai lalu melaporkan status itu kini dalam penelitian dan penemuan awal tidak menggalakkan.

UNESCO memberi tempoh kepada Malaysia hingga 30 September lalu untuk memaklumkan badan dunia itu mengenai perancangan bagi merawat dan memulihkan Tasik Chini serta tanah lembap di sekelilingnya supaya kembali sihat.

Tasik Chini yang berkeluasan 6,922.97 hektar adalah Tapak Rizab Biosfera pertama di Malaysia yang diiktiraf UNESCO menerusi Program MAB pada 26 Mei 2009.