WEST Ham United dalam proses kembali semula ke prestasi sebenar saingan domestik selepas menjinakkan Anderlecht 1-0 dalam aksi Kumpulan B Liga Konferensi di Lotto Park, pada Jumaat.
Malah menurut pengendali West Ham United, David Moyes, kemenangan ke atas Wolves dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) sebelum ini menjuruskan momentum positif kelab itu untuk meraih keputusan positif di Belgium.
"Kami mahu mencuba dan meneruskannya karakter sebenar West Ham, saya rasa para pemain mula menunjukkan tanda-tanda untuk kembali semula kepada gaya permainan kelab ini.
"Sepatutnya dalam perlawanan ini, kami boleh mendapat satu atau dua gol. Saya fikir kami sepatutnya menjaringkan lebih banyak gol, namun pasukan memberi tumpuan kepada mengekalkan rekod bersih dan momentum kemenangan pasukan,” katanya.
Jaringan pemain gantian The Hammers, Gianluca Scamacca pada minit ke-79', sudah cukup membolehkan anak buah Moyes membawa pulang tiga mata dari laman lawan.
Kemenangan ketiga selepas mengharungi tiga perlawanan itu memperkukuhkan kedudukan kelab London tersebut apabila menerajui Kumpulan B dengan sembilan mata.
Mengenai kemenangan di Brussels, Moyes mengakui para pemain The Hammers bergelut untuk memecah kebuntuan gol biarpun memiliki deretan peluang.
"Anderlecht tidak dibolosi sebarang gol dalam peringkat kumpulan sebelum ini, jadi sebenarnya sentiasa sukar untuk pasukan sejak awal lagi. Kami terlepas banyak peluang untuk menjaringkan gol, secara tidak langsung situasi yang agak menakutkan kepada setiap pemain.
"Namun secara keseluruhan saya fikir kami sememangnya berhak mendapat kemenangan. Saya tidak fikir anda melihat sesiapa menang dengan margin besar dalam perlawanan ini. Bola sepak di Eropah benar-benar kompetitif dan aksi di Brussels adalah satu lagi perlawanan yang sukar,” ujarnya.
West Ham yang melakar kemenangan 2-0 ke atas Wolves di Stadium London pada Ahad lalu, akan berdepan Fulham hujung minggu ini dalam saingan liga.
KEPUTUSAN LIGA KONFERENSI
Anderlecht 0-1 West Ham
Slovacko 0-1 Nice
Hearts 0-3 Fiorentina
Villarreal 5-0 Austria Vienna
Lech Poznan 0-0 H. Beer Sheva
Molde 3-0 Shamrock Rovers
Silkeborg 5-0 FCS
Sivasspor 3-4 Ballkani
Pyunik 2-0 Zalgiris
Dnipro-1 2-2 FC Vaduz
Gent 0-1 Djurgarden
Slavia Praha 0-1 CFR Cluj
Basel 0-2 Slovan Bratislava
Colonge 0-1 Partizan Belgrade
AZ Alkmaar 3-2 Apollon
RFS 0-0 Istanbul Basaksehir