Beri peluang Khaled Nordin tanding PRU15: UMNO Johor

Iklan
Hasni pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Puteri UMNO Bahagian Pontian pada Jumaat.

PONTIAN - UMNO Johor berharap Naib Presiden parti itu, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin diberi peluang bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengerusinya, Datuk Hasni Mohamad berkata, Mohamed Khaled mempunyai peranan cukup besar di dalam parti dan seharusnya diberikan kerusi bagi mewakili BN pada PRU akan datang.

Iklan
Iklan

"Saya percaya, kita (UMNO Johor) tentunya mahu salah seorang Naib Presiden UMNO dari negeri ini diberikan peluang bertanding sekali lagi pada PRU15 kali ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Puteri UMNO Bahagian Pontian di sini pada Jumaat.

Iklan

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Mohamed Khaled ketika itu Menteri Besar Johor tewas kepada Hassan Abdul Karim (PKR) di Parlimen Pasir Gudang dengan menyaksikan Hassan meraih majoriti undi 24,276.

Mohamed Khaled yang juga Ketua UMNO Bahagian Pasir Gudang turut tewas di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) kepada Datuk Seri Che Zakaria Mohd Salleh yang ketika itu bertanding atas tiket Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dengan majoriti undi 8,746.

Iklan

Sementara itu, ditanya mengenai khabar angin bahawa Mohamed Khaled disebut akan bertanding di kerusi Parlimen Mersing atau Kota Tinggi, Hasni enggan mengulas lanjut.

"Nanti dulu, saya pun masih belum ada kawasan hendak ditandingi," katanya.

Ketika diminta mengulas mengenai kerusi Parlimen yang akan ditandinginya, Ahli Dewan Undangan Negeri Benut itu berkata, perkara tersebut masih terlalu awal untuk diperkatakan.

"Sama ada saya bertanding di Parlimen Pontian atau di mana sahaja, ia adalah sebagai usaha untuk memperkukuhkan keyakinan kepada UMNO dan BN untuk memenangi PRU15 kali ini," katanya.