Cipta rekod mural di atas 93,000 batu bata

Iklan
Warga SMK Methodist ACS Ipoh berjaya mencipta rekod tersendiri dengan menghasilkan mural mendatar terbesar di atas 93,000 batu bata tersusun pada Jumaat.

IPOH - Warga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Methodist ACS Ipoh di sini berjaya mencipta rekod tersendiri dengan menghasilkan mural mendatar terbesar di atas 93,000 batu bata tersusun pada Jumaat.

Pengetua SMK Methodist ACS Ipoh, John Seeni berkata, kejayaan memahat nama di dalam Malaysia Book of Records itu adalah hasil kerjasama semua warga sekolah yang bertungkus lumus menyiapkan mural tersebut selama enam minggu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, selain mencipta rekod Malaysia, usaha itu dilakukan bagi mengutip dana Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) untuk membaik pulih kolam renang sekolah.

"Mural yang dihasilkan pula bertemakan 127 Tahun ACS Ipoh Bersamamu Malaysia sempena Hari Kebangsaan dan Sambutan Hari Malaysia sekali gus menanam semangat patriotik dalam kalangan warga ACS Ipoh.

Iklan

"Projek ini juga merupakan hadiah persaraan saya yang paling istimewa. Saya akan bersara wajib pada 1 Disember tahun ini," katanya kepada pemberita selepas ditemui pada Perasmian Penciptaan Rekod Malaysia Untuk Mural Atas Bata Tersusun Terbesar di SMK Methodist ACS Ipoh di sini pada Jumaat.

Ahmad Saidi (berbaju Melayu) bersama warga SMK Methodist ACS Ipoh menunjukkan sijil pengiktirafan yang diterima daripada Malaysia Book of Record.

Hadir menyempurnakan perasmian itu, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Sumber Manusia Perak, Ahmad Saidi Mohamad Daud.

Iklan

John berkata, projek itu juga adalah aset penting kepada pelajar dalam membina jati diri dan sifat-sifat kepimpinan selain dapat mencungkil bakat yang terpendam.

Sementara itu, Ahmad Saidi berkata, kejayaan SMK Methodist ACS Ipoh mencipta rekod itu merupakan satu kebanggaan kerana berjaya mengharumkan nama negeri Perak.

Menurutnya, kerajaan negeri sentiasa memberikan sokongan kepada warga sekolah untuk menjalankan aktiviti atau projek seumpama itu.