[VIDEO] Kedah sah tidak bubar DUN

Iklan
Muhammad Sanusi melakukan pemeriksaan kesihatan ketika melawat reruai pameran pada Majlis Perasmian Penutup Jelajah Sejahtera di Dataran Masjid Nurul Ihsan, Langgar, di sini, pada Jumaat.

ALOR SETAR – Kedah mengesahkan tidak akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) sekiranya Parlimen dibubarkan dalam tempoh terdekat ini.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, telah sembah maklum berhubung hasrat itu ketika mengadap Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah secara dalam talian pada Selasa lepas.

Iklan
Iklan

Muhammad Sanusi berkata, ketetapan tidak membubarkan DUN berkenaan diambil Kedah dengan mengambil kira ramalan banjir dikeluarkan Jabatan Meteorogi Malaysia (MetMalaysia).

"Kita tidak akan bubar tahun ini kerana akan menghadapi banjir (berdasarkan) ramalan (Jabatan) Meteorologi. Saya maklumkan kepada Tuanku beberapa negeri termasuk Kedah membuat keputusan mengadakan pilihan raya pada tahun depan.

Iklan

"Tuanku maklum itu kuasa menteri besar dan terpulang ke menteri besar. Itu sahajalah,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Penutup Jelajah Sejahtera di Dataran Masjid Nurul Ihsan, Langgar, di sini, pada Jumaat.

Hadir sama, Exco Penerangan, Komunikasi dan Multimedia, Datuk Wan Romani Wan Salin.

Iklan

Menurut Muhammad Sanusi, pihaknya menerima laporan daripada MetMalaysia bahawa akan berlaku monsun yang menyebabkan banjir di Semenanjung Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak.

"Ia sukar diramal. Sekarang ini, sudah tidak akan kemarau empat bulan, hujan tiga bulan. Dia kemarau ikut dan (tidak menentu), hujan pun ikut dan (tidak menentu).

"Tunggulah air surut. Apabila jabatan berkaitan kata sampai bulan Mac, buatlah (pilihan raya) bulan April. Semasa itu semua orang boleh pergi mengundi dan kita pun senang nak pergi kempen,” katanya.

Beliau meluahkan rasa bimbang terhadap golongan wanita yang terpaksa bersusah payah termasuklah menaiki bot ke pusat pemindahan untuk mengundi sekiranya pilihan raya diadakan ketika banjir.

Ujar beliau, kerajaan negeri tidak akan membubarkan DUN Kedah sehingga Mac 2023, selepas itu baru akan dipertimbangkan untuk pembubaran.

Muhammad Sanusi berkata, kerajaan akan meneruskan kerja pentadbiran dan pengurusan negeri seperti biasa memandangkan DUN akan dibubarkan sehingga tamat penggal.

"Untuk DUN 'tidak gaduh' pilihan raya sampai tahun depan tetapi kerana mereka ini ingin bubar Parlimen, maka penduduk mungkin kena keluar juga mengundi,”katanya.

Pada Jumaat, Pas dilaporkan membuat ketetapan tidak membubarkan DUN di tiga negeri ditadbir parti berkenaan sekiranya Parlimen dibubarkan dalam tempoh terdekat.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menjelaskan, ketetapan itu menyusul selepas negeri ditadbir Pakatan Harapan (PH) iaitu Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang membuat keputusan sama pada Rabu.