KOTA BHARU - Ibu mana yang sanggup melihat anaknya yang kini dalam keadaan koma dan dipenuhi wayar akibat cedera parah dipercayai dipukul.
Shamsiah Abdullah, 60, mengakui terlalu sedih dan tidak dapat melihat anaknya, Ahmad Fadhil Asaari, 33, yang kini terlantar di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM).
"Saya tidak pernah melawat Ahmad Fadhil selepas dihantar ke hospital sejak 25 September lalu. Badan saya gementar apabila dimaklumkan dia cedera parah dan hanya melihat melalui telefon," katanya.
Menurut Shamsiah, anak kelima daripada tujuh beradik itu merupakan seorang anak yang cepat mesra dengan penduduk kampung dan tidak mempunyai musuh.
Katanya, rutin setiap hari Ahmad Fadhil ialah membelikan nasi untuknya pada waktu pagi sebelum keluar bekerja mengambil upah menjaga kambing.
Warga emas itu yang berkongsi kejadian memberitahu, dia dimaklumkan anaknya dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) selepas dipercayai dipukul kira-kira jam 5 petang.
Tambah Shamsiah, anaknya, Mohd Anuar, 35, terus bergegas ke hospital dan memaklumkan Ahmad Fadhil mengalami kecederaan teruk di kepala dan luka di badan.
"Anak saya kemudian dipindahkan ke HUSM dan doktor terpaksa melakukan pembedahan membuang sebahagian tempurung kepala kerana pendarahan serius," katanya.
Katanya, sehingga kini Mohd Anuar berulang-alik melihat perkembangan adiknya itu.
"Lebih menyedihkan, mata anak saya juga disahkan buta akibat berlaku pendarahan.
"Saya juga dimaklumkan, lehernya terpaksa ditebuk semalam (Khamis) kerana untuk pernafasan dan kini bergantung sepenuhnya pada alat bantuan pernafasan," katanya.
Susulan kejadian itu, kata Shamsiah, suaminya, Asaari Rashid, 65, sudah tiga kali membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pengkalan Chepa.
Shamsiah berharap anaknya mendapat pembelaan dan siasatan dapat dilakukan secara telus selain pelaku dapat diheret ke mahkamah.
"Kami hanya menanti dia sedar dari koma dan mahu mendengar cerita sebenar di sebalik kejadian ini," katanya.
Shamsiah kini hanya mampu berdoa dan bertawakal semoga anaknya cepat sembuh dan dapat menjalani rutin harian seperti biasa.
Orang ramai yang ingin membantu Shamsiah boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Simpanan Nasional (0399541100083061) atau menghubungi Asaari di talian 019-9474880.