BATU PAHAT - Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) sedar dan cakna bahawa tidak semua mereka yang melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi (IPT) datang dari keluarga yang senang.
Pelbagai perkara perlu disiapkan oleh mereka yang hendak masuk universiti ataupun IPT. Bukan sahaja dari segi emosi dan mental pelajar serta ibu bapa, tetapi juga dari segi kelengkapan fizikal, khususnya wang ringgit untuk perbelanjaan anak-anak.
Justeru, Menteri KPT, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad menjelaskan, pihak kementerian melalui agensi di bawahnya ada menawarkan pelbagai bantuan kepada para pelajar yang memerlukan.
"Seperti pada hari ini, pihak PTPTN berbesar hati untuk memberikan Bantuan Pengajian KPT-PTPTN Prihatin kepada seramai 38 pelajar dari kawasan Parlimen Parit Sulong, yang mengikuti pengajian di IPT seluruh negara.
"Bantuan ini bertujuan untuk membantu pelajar yang kurang berkemampuan untuk menampung kos sara hidup di IPT. Sejumlah RM19,000 telah diperuntukkan untuk inisiatif ini,” katanya pada Program Pembangunan Mahasiswa Baharu dan Sesi Ramah Mesra Bersama Menteri Pengajian Tinggi di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Batu Pahat, pada Khamis.
Melalui Bantuan Pengajian KPT-PTPTN Prihatin setiap pelajar akan menerima sebanyak RM500 secara one-off, terus ke dalam akaun bank pelajar.
Jelas Dr Noraini lagi, PTPTN turut menyediakan Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) kepada pelajar baharu yang berjaya melanjutkan pengajian di IPTA dan Politeknik.
Kata beliau, pemberian WPP ini adalah untuk membolehkan pelajar baharu membuat persiapan awal seperti membeli pakaian, peralatan untuk pembelajaran, kos pengangkutan dan juga untuk membayar sebahagian yuran pengajian.
"Ini juga merupakan antara usaha PTPTN untuk memastikan bahawa tidak ada pelajar yang gagal memasuki IPT disebabkan oleh masalah kewangan.
"Alhamdulillah, bagi kemasukan pelajar peringkat ijazah ke IPTA dan Politeknik Sesi Oktober 2022 ini, seramai 28,278 pelajar telah ditawarkan WPP melibatkan peruntukan sebanyak RM42.4 juta.
"Di negeri Johor sahaja, seramai 3,520 pelajar ditawarkan WPP dengan peruntukan sebanyak RM5.28 juta. Manakala untuk Parlimen Parit Sulong, seramai 108 pelajar yang telah dikenal pasti mendapat tawaran WPP dengan peruntukan sebanyak RM162,000,” katanya.
Surat tawaran WPP mempunyai tempoh sah laku selama dua bulan dan tempoh sah adalah pada 05 Oktober 2022 hingga 05 Disember 2022. Pelajar-pelajar boleh menunaikan WPP ini di mana-mana kaunter Bank Islam mulai 05 Oktober 2022 dengan membawa surat tawaran ini dan juga MyKad pelajar untuk pengesahan diri.
Dalam masa sama, PTPTN juga turut rancak mempromosikan Program Kembara Keluarga Simpan SSPN Tahun 2022.
Ujar Dr. Noraini, program berkenaan melibatkan sumbangan zakat PTPTN kepada 17,800 pelajar asnaf di 178 kawasan terpilih di 12 negeri. Sumbangan ini diberikan dalam bentuk akaun Simpan SSPN Prime dan melibatkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM1.78 juta.
"Secara umumnya, program ini bertujuan untuk membantu pelajar asnaf dari aspek pendidikan, selain sebagai galakan awal untuk memulakan penabungan bagi tujuan pendidikan tinggi anak-anak Keluarga Malaysia.
"Bagi Program Kembara Keluarga Simpan SSPN Tahun 2022 Peringkat Negeri Johor pada hari ini, sebanyak 26 kawasan terlibat dengan sejumlah RM260,000.00 telah diperuntukkan dan setiap kawasan bakal menerima RM10,000.00.
"Di setiap kawasan ini pula, seramai 100 pelajar asnaf akan menerima sumbangan akaun Simpan SSPN Prime bernilai RM100 seorang,” jelas beliau.
Dr Noraini juga merakamkan penghargaan kepada Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) dan juga pemimpin setempat yang banyak membantu pihak KPT dan PTPTN untuk mengenal pasti pelajar asnaf yang layak.