PENGENDALI Selangor FC, Tan Cheng Hoe percaya tindakan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mengadakan undian awal Piala Malaysia 2022 bukan dibuat secara semberono.
Menurut Cheng Hoe, badan pengelola Liga Malaysia (Liga-M) itu sudah pasti memikirkan kebaikan dan keburukan untuk semua pasukan yang bertanding sebelum membuat keputusan mengadakan undian awal, sebelum tamat saingan Liga Super.
"Saya rasa, mesti apa-apa yang MFL buat mereka sudah tentu ada perancangan yang tersendiri. Saya rasa mereka sudah kaji baik dan buruk sebelum membuat keputusan tersebut.
"Mungkin ini first time kita lalui situasi undian seperti ini, jadi setiap pasukan kena ambil perkara itu dari sudut pandang positif dan memberi tumpuan penuh untuk baki perlawanan liga super selepas ini.
"Ia juga secara tidak langsung akan memberi motivasi buat kelab-kelab Liga Super untuk memperbaiki kedudukan bagi mendapatkan undian lebih baik dalam saingan Liga Malaysia,” katanya kepada Sukan Sinar pada Jumaat.
Pengendali Petaling Jaya (PJ) City, P Maniam turut senada dengan Cheng Hoe ketika ditanya berkenaan undian Piala Malaysia 2022 yang mencetuskan perdebatan hangat penyokong bola sepak tempatan.
Maniam berkata, PJ City akan cuba mempamerkan aksi terbaik dalam tiga aksi terakhir Liga Super bagi mengelak pertembungan dengan pasukan pilihan di peringkat 16 terbaik Piala Malaysia.
"Keputusan dah dibuat, jadi kita sebagai pasukan bertanding kena terimalah apa-apa keputusan yang telah dibuat. Saya melihat undian tersebut dari sudut pandang positif.
"Mahu atau tidak, kami harus menang dalam tiga perlawanan seterusnya kalau mahu mengelak pasukan yang hebat. Jadi, pemain-pemain perlu beraksi dengan lebih baik sekiranya mahu mendapatkan undian yang bagus,” ujarnya.